BEKAS PEGAWAI KHAS LIM GUAN ENG DEDAH TAKTIK KOTOR DAP

DAP dilihat semakin terdesak dalam kempen pilihan raya sehingga didakwa sanggup mereka-reka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mendedahkan perkara itu, Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad berkata, semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu telah siap akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

Beliau mendakwa, antara fitnah yang sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang itu adalah isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek-projek kerajaan yang lain.

“Dalam waktu berkempen ini, saya dapat tahu DAP menggiatkan lagi penyebaran bahan-bahan propaganda jahat dan berbentuk fitnah ini bagi menjatuhkan kepimpinan kerajaan sedia ada.

“Saya bimbang jika tindakan DAP ini tidak didedahkan ia akan mengganggu ketenteraman awam, menjejaskan perpaduan, merosakkan minda rakyat sekaligus menggugat keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tampil membuat laporan hari ini kerana tidak mahu lagi bersekongkol menabur fitnah di bawah unit publisiti DAP.

Jelasnya, antara tugas-tugas utamanya di bawah unit yang diketuai Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua Kiam Wee, itu adalah menterjemahkan bahan-bahan publisiti, membantu membuat, menyampai serta menyebarkan propaganda untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.

“Namun setelah sekian lama, saya melihat unit dikepalai Tony Pua ini telah terpesong daripada tujuan asal dengan menyebarkan dakyah yang direka-reka untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan khususnya Perdana Menteri.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dibayar untuk tampil hari ini sebaliknya pendedahan dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak. Malah saya juga bersedia menerima apa sahaja tindakan termasuk dipecat daripada DAP,” katanya.

Beliau yang juga bekas wartawan sebelum menyertai DAP pada 2009 berkata, memahami etika kewartawanan yang menjadi keutamaan dalam setiap laporan diberikan.

“Sebab itu saya menerima pelawaan DAP menyertai mereka ketika itu kerana ingin memperjuangkan kebenaran terhadap semua isu rakyat khususnya kepada orang Melayu namun parti itu hari ini telah melakukan fitnah,” katanya yang juga ahli seumur hidup DAP.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment