Tun M, Anwar Halang Pentadbiran Islam Dilaksankan Kelantan,Terengganu- Hadi

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa sebagai dua individu penting yang menghalang pentadbiran Islam dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS meluluskan undang-undang jenayah syariah yang bersifat mendidik masyarakat, masing-masing pada awal serta penghujung 1990-an.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka tidak dapat melaksanakannya kerana ditentang oleh Dr Mahathir dan Anwar yang ketika itu adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tiba-tiba bila dah lulus, Dr Mahathir hantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi amaran supaya jangan laksanakan… kalau laksanakan undang-undang itu, Kerajaan Pusat akan bertindak.

“Oleh kerana kita mahu memelihara hubungan, kita bawa undang-undang itu ke Parlimen. Saya sendiri membawa usul dan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian, namun kita disekat dan dihalang,” katanya pada sidang media selepas ceramah perdana jelajah Presiden PAS dan munajat PRU-14 di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perjuangan PAS berhubung undang-undang berkenaan akhirnya menampakkan hasil apabila kerajaan Persekutuan ketika ini, sedia berunding dan bersetuju dengan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) untuk dibentangkan di Parlimen.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun, hukuman denda maksimum hingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir juga menghalang kerajaan negeri Kelantan mentadbir mengikut cara sendiri dengan menubuhkan Jabatan Persekutuan untuk mengendalikan urusan negeri.

Selain itu, Abdul Hadi mendakwa kerajaan pusat di bawah pimpinan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim turut melewatkan pemberian geran kepada kerajaan negeri bertujuan menyukarkan mereka membayar gaji kakitangan kerajaan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk bergabung dengan BN atau pembangkang sekali lagi, beliau dengan berseloroh berkata akan menubuhkan kerajaan perpaduan jika mereka dapat memenuhi tuntutan PAS supaya menerapkan dasar Islam dalam pentadbiran.

Terdahulu PAS Negeri Sembilan mengumumkan pertambahan satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan bilangan keseluruhan 27 kerusi akan ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Mustaffa berkata, PAS mencalonkan Mejer (B) Abdul Halim Abu Bakar yang turut bertanding di Parlimen Tampin untuk bertanding di DUN Gemas.

PAS Negeri Sembilan sebelum ini mengumumkan bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 26 DUN pada PRU-14.-BHonline
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment