Najib Banyak Membantu Selamatkan Proton

PEKAN – Datuk Seri Najib Tun Razak banyak membantu menyelamatkan perusahaan Proton walaupun tidak pernah terlibat dengan isu-isu lampau kereta nasional itu, tetapi atas prinsip tanggungjawab, beliau campurtangan, kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

“Kita tidak boleh biarkan Proton musnah,” kalimah yang kerap diulang perdana menteri ketika syarikat pengeluar kereta nasional itu menghadapi saat-saat getir, dua tahun lalu, menurut Syed Faisal Albar.

Beliau berkata ketika itu Proton berhadapan dengan risiko kemusnahan jika tidak diselamatkan kerana masalah pasaran automotif negara yang terlalu kecil sedangkan kos pengeluaran tinggi, tambahan pula Najib memikirkan nasib pekerja syarikat itu, jika tiada tindakan dilakukan.

“Kalau hendak ikut jalan senang, kerajaan boleh biarkan sahaja Proton dan tidak berbuat apa-apa. Tapi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, beliau sendiri menggembleng jentera kerajaan untuk menjadi satu pasukan bersama-sama dengan DRB HICOM .

“Itu semua bagi memastikan kita mencapai kejayaan dalam pelan pemulihan Proton. Alhamdulillah kita mendapat Zhejiang Geely Holding Group (Geely) sebagai rakan strategik. Tiada orang lain yang kami berterima kasih melainkan perdana menteri yang memainkan peranan penting untuk selamatkan Proton dan DRB HICOM,” katanya.

Syed Faisal Albar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga DRB HICOM dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan yang dihadiri Najib di perkarangan Puspakom Pekan di sini hari ini.

Beliau juga berkongsi hakikat bahawa usaha menyelamatkan Proton juga dipacu oleh visi Najib yang mahu melihat kereta buatan Malaysia mempelopori pasaran automotif rantau ASEAN.

Selain itu, kewujudan Kompleks DRB HICOM di daerah ini, menurut Syed Faisal Albar, juga direalisasikan dengan bantuan Najib, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pekan sejak 10 penggal lalu.

“Banyak lagi lokasi yang lebih dekat dengan bandar besar yang boleh dijadikan kompleks begini, tapi dengan sokongan dan bantuan daripada perdana menteri maka tersohorlah kompleks kita di Pekan, yang membolehkan ramai penduduk mencari rezeki.

“… dengan 250 ekar (kira-kira 101 hektar) kawasan di Pekan, menjadikan kita sebagai majikan terbesar di Pekan,” katanya.

Syed Faisal Albar menamatkan ucapannya dengan serangkap pantun :

Menghembus tepung mencari benang,
Telah terbina kota terbilang,
Datuk Najib budi dikenang,
Selagi ada bulan dan bintang

Ternyata pantun itu berjaya mencuit hati Najib dan kira-kira 2,500 kakitangan DRB HICOM yang menghadiri majlis itu. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana