3 KISAH ‘PUKUL HABIS’ HIKAYAT 1,001 MALAM

BANYAK sekali cerita yang lahir dari kisah 1,001 malam, sebuah karya kesusasteraan Asia Barat zaman pertengahan. Ada kisah Sinbad Si Pelaut, Ali Baba dan 40 Penyamun dan Aladin dan Lampu Ajaibnya.

Tapi hikayat-hikayat yang di­ceritakan Scheherazad (bahasa Parsi: Shahrastini) kepada suaminya itu bagi Tumpang lalu takkan sama dengan tiga kisah yang lagi hebat ini.

Ya, kisah yang memerlukan orang Melayu merenung, me­nginsafi serta mengambil iktibar berharga menjelang pengundian bapa (bahasa jujurnya ‘bapak’) segala pilihan raya, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kisah 1

Macam manalah orang Melayu hendak bersandar kepada ‘parti-parti kecil Melayu’ dalam gabu­ngan pembangkang PKR.

Kalau ini benarlah ‘pakatan harapan’, takkanlah usaha murni yang dituntut untuk mene­gakkan syiar Islam pun dibantah mentah-mentah oleh pemimpin-pe­mimpin Melayu mereka.

Contoh amat ketara apabila PAN, PPBM dan PKR menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Un­dang (RUU 355) sebelum ini.
 Mana perginya maruah dan air muka Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan si penyokong tegar mereka se­perti bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ini bila Penasihat DAP, Lim Kit Siang membantah RUU 355 ini, anda semua ikut melolong sahaja. Hei, anda semua tidurkah?

Kit Siang ini pun satu hal. Kalau hendak dikatakan gelisah kerana takut RUU 355 ini tem­piasnya terkena kepada orang bukan Islam, boleh diterima juga alasannya. Padahal ini tidak sama sekali akan berlaku.

Ia hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja. Ahli-ahli Parlimen DAP ini tidak akan masuk pun mahkamah syariah pun. Kenapa takut sangat? Tambah Tumpang lalu sedih sangat apabila melihat tindak-tanduk Kit Siang dan beberapa orang kanannya dalam sidang Dewan Rakyat tempoh hari yang sanggup mencuri masa dan ‘mengumpan’ ahli Parlimen pembangkang lain yang bukan Islam untuk sama-sama membantah pembentangan RUU 355 itu. Barangkali boleh di­terima kerana memang itulah sejak aza­linya.

Tetapi bab pe­mim­pin-pe­mim­pin Mela­yu dalam PKR, PAN dan PPBM ikut jejak Kit Siang inilah yang kita umat Islam kesalkan. Macam tunggul kayu apabila me­nghadapi puak penentang undang-undang Islam. Jadi, macam ma­nalah parti-parti Islam seperti Pas dan UMNO ini tak marah. Ini sehinggakan bantahan oleh ‘parti-parti kecil Melayu’ dalam PKR ini disifatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

Kisah 2

Tak habis-habis seorang rakan Facebook Tumpang lalu, ‘orang kuat’ PPBM yang pernah akrab suatu ketika dulu muat naik gambar idolanya turun jelajah jumpa orang ramai. Katanya, khalayak ‘melaut’. Tak pasti sama ada Tumpang lalu nak mengiakannya kerana sepanjang Tumpang lalu buat liputan lima kali pilihan raya umum (termasuklah PRU-14) dan berbelas-belas pilihan raya kecil, senario itu suatu yang lumrah, lebih-lebih lagi apabila kita nak tahu ‘biar benor orang ini’.

Kalau di Putrajaya ketika PRU-13, gerombolan penyokong Hu­sam Musa ketika dia lawan Ku Nan (Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor) lagi ‘melimpah’. Tapi, semua maklum, apa sudahnya. Husam tersungkur di kaki lima Putrajaya.

Bolehlah kalau nak pergi te­ngok idola rakan Tumpang lalu itu. Tapi kita orang Melayu harus ingat, semasa idola rakan Tum­pang lalu itu membacakan ikrar pemba­ngkang untuk menghapus­kan rasuah menje­lang 2030 ser­ta menjadikan Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang me­laporkan terus kepada Parlimen, siapa yang berada di sebe­lah pengerusi pakatan itu?

Bukankah Kit Siang yang anak­nya, Lim Guan Eng sedang me­nunggu pendakwaan ra­suah di mahkamah? Walaupun didesak berulang kali supaya Guan Eng bercuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sementara kes pe­ngurusan rasuahnya di mah­ka­mah selesai, DAP dan Kit Siang buat tuli sahaja.

Kisah 3

Kalau ikut seorang bekas menteri kewangan, Malaysia ini sudah bankrap dah. Kata bekas menteri itu, kalau tak silap Tumpang lalu, Oktober tahun lalu negara ini ‘sudah habis lingkup’. Inilah fitnah cukup besar.

Tapi macam mana sebuah negara yang ‘hampir nak muflis’ ini begitu sesak pula Stadium Bukit Jalil dengan kontinjen-kontinjen atlet negara rantau ini dan rakyat tempatan sendiri menyertai dan menyaksikan temasya Sukan SEA 2017?

Masakan pula atlet-atlet Malaysia yang ‘kononnya datang dari negara yang sedang tenat ekonominya ini’ boleh tiba-tiba muncul mengaut lebih 140 pi­ngat emas – yang terbanyak dalam sejarah sukan itu. Bukankah ‘dek kerana tenat ekonomi yang diuar-uarkan pembangkang dengan prasarana sukan jadi daif dengan mesin-mesin latihannya rosak dan berkarat’, tetapi mengapa pula muncul juara dunia renang pa­pan anjal dan basikal datang dari kalangan atlet Malaysia?

Dan bagaimana pula mungkin kerajaan Arab Saudi yang diperle­cehkan oleh pembangkang negara ini berkaitan isu ‘derma RM2.6 bilion’ pada tahun lepas boleh bersetuju me­ngembalikan kuota haji rakyat Malaysia kepada 30,200 jemaah berbanding hanya 22,000 jemaah sejak tiga tahun lalu?

Takkanlah Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud nak datang ke tempat ini (Kuala Lumpur pada Februari 2017) yang ‘memfitnah’ negaranya kot? Malah Ra­ja Salman menyaksikan pula perjanjian antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Saudi Aramco bernilai RM31 bilion.
Dari segi indikator ekonomi, kalaupun Malaysia nak bankrap, ada lagi 80 negara yang akan muflis terlebih dahulu sebelum negara ini.

Orang Melayu mesti renung-renungkan tiga kisah ini yang sempat Tumpang lalu nukilkan – atas semangat cintakan Islam dan nasib anak bangsa.

Hikayat 1,001 malam Tumpang lalu tak baca habis. Malas nak baca kesudahannya sama ada suami Scheherazad jadi atau tidak menghukum bunuhnya (setelah biar dia hidup untuk satu lagi hari).

Zulkifli Jalil
Utusan

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana