Mengintai PM di Kubang Pasu...

Dari Yan… Datuk Seri Najib Tun Razak ke Tanjong Dawai di Merbok,kemudian ke Padang Terap.Ini diikuti acara terakhir lawatan hari pertama Perdana Menteri ke Kedah Isnin di Dewan Wawasan,Jitra dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu pada sebelah malam.

Pada Selasa beliau menghadiri dua lagi acara yakni dengan pelajar Tahfiz di Pondok Tanjong Kapor dan dengan pesawah di Sungai Korok,Alor Biak.

Di Tanjong Dawai Najib telah merasmikan projek perumahan besar untuk nelayan di situ dan membuat pengumuman melibatkan RM200 juta untuk pembangunan semula 12 penempatan nelayan di seluruh negara.

Berbanding empat lokasi dijejak oleh Perdana Menteri ramai yang pasang teropong ketika beliau melangkah masuk ke Dewan Wawasan Jitra.

Apa tidaknya Kubang Pasu ialah bekas kawasan Parlimen dimana Tun Dr Mahathir Mohamad bertapak memerintah negara selama 22 tahun.

Tidak kurang menarik Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Johari Baharom ialah Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen kawasan itu.

Mungkin orang sudah lupa beliau ialah bekas Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir dan merupakan orang ‘on the ground’ yang jaga kawasan itu.

Sekalipun berdepan badai politik Johari telah membuktikan kekuatan beliau yang tersendiri dimana kawasan Parlimen Kubang Pasu dan dua Dewan Undangan Negeri yakni Bukit Kayu Hitam dan Jitra kekal ditangan BN dengan majoriti besar semasa pilihanraya umum ke 13.

Dewan Jitra juga pernah melakar sejarah tersendiri.Ini berlaku semasa kemuncak Dr Mahathir menghentam kepimpinan Tun Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri.

Pada September 2006 beliau tewas dalam pemilihan untuk jadi perwakilan UMNO bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO tahun itu.

Dr Mahathir mendapat 227 undi, menduduki tempat kesembilan . Hanya tujuh calon yang mendapat undi terbanyak layak mewakili bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

Seramai 476 perwakilan membuang undi pada mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu hari itu.

Beliau berhajat untuk jadi perwakilan bahagian itu agar dapat ‘ bersemuka’ dengan Abdullah di keramaian perhimpunan agung itu.

Johari dikatakan menjadi bentang yang berjaya memintas cubaan itu.Namun ada kalangan pemerhati politik yang menyalahkan Dr Mahathir sendiri yang tidak ada ‘ grip’ pada bahagian yang pernah diketuainya.

Anihnya kebelakangan ini ketika spekulasi terus berlegar dimana Dr Mahathir selaku Pengerusi pakatan pembangkang hendak bertanding pilihanraya umum ke 14 nama Kubang Pasu tidak begitu menjadi tumpuan.

Lojiknya Kubang Pasu sepatutnya menjadi pilihan pertama Dr Mahathir.

Sebaliknya teka teki kini cuma bertumpu antara Putrajaya dan Langkawi.

Dalam pada itu ramai yang bertaruh Langkawi besar kemungkinan menjadi pilihan Dr Mahathir berentap.

Kenapa Kubang Pasu tidak menjadi tarikan sangat kepada bekas Perdana Menteri itu dalam mengejar cita-citanya untuk menjatuhkan Najib.

Apakah beliau bimbang sejarah September 2006 akan berulang lagi.

Dalam ucapannya di depan hadirin di Dewan Wawasan yang turut disertai Johari,Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff…Perdana Menteri turut menyingkap mengenai tindak tanduk Dr Mahathir yang disifatkannya tidak wajar.

Baginya Dr Mahathir tidak konsisten dalam perjuangan dan tidak istiqamah dalam parti apabila sanggup menghancurkan parti keramat UMNO demi kepentingan peribadinya.

Malah Najib berkata Dr Mahathir juga seperti 'cakap tidak serupa bikin' apabila beliau sendiri mengkritik habis-habisan pemimpin di bawahnya yang menggantikannya, sedangkan beliau sendiri pernah meminta anggota parti agar sentiasa menyokong pemimpin baharu.

"Saya cakap terus terang, saya jadi perdana menteri dan ada kekuatan kerana UMNO angkat saya dan Barisan Nasional (BN) sokong saya, kalau UMNO dan BN tidak angkat dan pertahankan saya, saya tidak akan kuat," katanya.

Najib kata beliau sendiri pernah mendokong bekas Perdana Menteri itu semasa pemilihan UMNO yang sengit pada tahun 1987 sekalipun lebih rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut beliau ini adalah atas semangat wala kepada kepimpinan.

Beliau kesal Dr Mahathir sekarang sanggup buat U-turn berdakap dengan musuh-musuh politik yang dikecamnya dulu bagi menjatuhkan BN.

Mengenai kerusi Parlimen Kubang Pasu, beliau yakin BN akan dapat mengekalkan kawasan kubu kuat parti itu serta DUN Jitra dan Bukit Kayu Hitam dengan majoriti yang lebih besar pada PRU14.

Najib Tun Razak juga beri jaminan bahawa beliau sama sekali tidak akan mempertaruhkan masa depan negara dengan memberikan janji-janji manis tanpa perancangan untuk membangunkan negara.

Beliau berkata sebagai perdana menteri, beliau memikul harapan kira-kira 30 juta rakyat di negara ini yang mengharapkan kerajaan menjulang masa depan negara ke satu tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.

"Saya tidak akan membawa tuan-tuan sekalian kepada satu keadaan di mana saya sanggup pertaruhkan masa depan negara semata-mata nak tabur 'gula-gula' atau pun dedak kepada rakyat kerana saya mempunyai tanggungjawab besar," katanya.

Sebagai pemimpin, Najib berkata, beliau telah membuat pelbagai perancangan jangka panjang untuk pembangunan negara antaranya seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan pada masa yang sama memastikan keperluan asas rakyat diberikan keutamaan.

"Kita juga nak tentukan keperluan seharian kita cukup, kalau seharian tak cukup tak sampailah masa depan, jadi kita kena pastikan dapur berasap, hidangan makanan cukup, kediaman rumah sempurna, anak dapat sekolah, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan, pendapatan meningkat dan keselamatan terjamin," katanya.

Pengerusi BN itu turut memberikan jaminan bahawa Zon Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam akan menjadi agenda pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang lagi, malah ia sudah pun dimulakan melalui penghapusan tol di kawasan itu bermula Januari lalu.

"Tahun hadapan laluan di sana (pintu sempadan Bukit Kayu Hitam) akan dibuka 24 jam dan kawasan 12,000 ekar (Zon Bebas Cukai) merupakan titik permulaan gagasan pembangunan dari utara sampai ke selatan," katanya.

Najib kemudian mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk pembangunan pasar Jitra dan RM400,000 bagi baik pulih gelanggang tenis yang disifatkan beliau sebagai salah satu bukti bahawa rakyat akan terus mendapat pelbagai manfaat jika BN kekal memerintah.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana