DR MAHATHIR SUDAH HILANG TARING, KATA DR KAMARUL ZAMAN

Temu ramah Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama akhbar Singapura, Sunday Times baru-baru ini membuka seribu pekung di dada pakatan tersebut.

Selain daripada menonjolkan ketidaksefahaman para pemimpinnya, temu ramah tersebut juga mendedahkan kedudukan sebenar Dr. Mahathir yang rupa-rupanya tidak lebih daripada sekadar boneka dalam pakatan tersebut.

Perkara ini disuarakan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, ulasan Dr. Mahathir mengenai janji memansuhkan tol dalam manifesto Pakatan Harapan membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri itu sudah hilang taring untuk menguasai Pakatan Harapan.

“Setelah Tun Dr. Mahathir menerjah Wacana Sinar Harian Ke-53 Khamis lalu, saya menggunakan ruang itu untuk menanyakan beliau mengenai persepsi bahawa, dari segi intelektual, beliau tidak akan mampu untuk jadi Perdana Menteri yang baik kerana beliau tidak akan mampu menguasai Pakatan Harapan serta hanya akan menjadi boneka kepada para pemimpin lain disebabkan dominasi DAP dalam Pakatan Harapan.

“Apabila Manifesto Pakatan Harapan dilancarkan 8 Mac lalu, saya sendiri berasa sangat terkejut kerana mendapati bahawa, di sebalik penentangan keras Tun Dr. Mahathir ke atasnya, janji untuk menghapuskan tol ini turut terkandung di dalam Janji 6: Menghapuskan Kutipan Tol.

“Tidakkah pengakuan Tun Dr. Mahathir di dalam akhbar ini (Sunday Times) adalah satu vindication (mewajarkan atau justifikasi) kepada kenyataan saya di depan beliau sendiri di dalam Wacana Sinar Harian Ke-53 Khamis lalu?” soalnya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, Kamarul turut mempersoalkan ketegasan Dr. Mahathir kini berbanding dahulu ketika beliau menguruskan ugutan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari MCA yang mengugut untuk meletakkan jawatan kerana berselisih pendapat dengan kerajaan negeri Selangor.

Katanya, Dr. Mahathir ketika itu tegas dengan pendiriannya untuk mempertahankan tindakan kerajaan Selangor dengan mempersilakan ADUN tersebut untuk meletakkan jawatan dan memberi amaran jika MCA mahu bertanding semula di kerusi tersebut, mereka tidak dibenarkan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).

“Bandingkan sahaja ketundukan Tun Dr. Mahathir kepada DAP sekarang dengan ketegasan beliau kepada MCA dahulu. Akuilah sahaja bahawa Tun Dr. Mahathir sudah terlalu lemah untuk jadi Perdana Menteri,” katanya.

– UTUSAN ONLINE
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment