PAKATAN HARAPAN: SIAPA BAKAL KENA TIPU?

OLEH Kamis Ahmad Kahel

APABILA seteru bersatu, pasti ada kepentingan tertentu atau kepentingan peribadi yang mahu dicapai yang mana akhirnya akan membawa kepada perbuatan tikam dari belakang dan makan kawan.

Bayangkan bakal perdana menteri sementara yang dinamakan Pakatan Harapan jika mereka menang pada PRU14 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan para pemimpin DAP, PKR dan PAN merupakan seteru yang cukup lama.

Permusuhan antara Dr. Mahathir dan penasihat DAP, Lim Kit Siang cukup lama.

Bermula daripada zaman kedua-duanya mula terlibat dalam politik, perseteruan mereka sudah bermula.

Dr. Mahathir dicap sebagai ultra Melayu, manakala Kit Siang pula adalah pemimpin cauvenis China. Selama berdekad kedua-duanya bertelingkah, tuduh menuduh, menghina, mencaci dan pelbagai lagi.

Tuduhan-tuduhan yang dlemparkan oleh Kit Siang kepada Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri juga bukannya ringan. Perasuah, salah guna kuasa, diktator dan pengamal kronisme adalah antara tuduhan Kit Siang dan para pemimpin pembangkang lain kepada Dr. Mahathir.

Begitu juga dengan gelaran-gelaran keji lagi jelik yang dlemparkan kepada bekas pemimpin itu seperti mahazalim dan mahafiraun.

Sebab itu hari ini apabila Dr. Mahathir dan Kit Siang boleh berdiri di atas pentas yang sama, malah Kit Siang sanggup menyokong Dr. Mahathir sebagai calon perdana menteri, rasanya seperti ada sesuatu yang tidak kena. Seperti ada helah di sebalik tindak-tanduk mereka ini.

Kit Siang sendiri pernah disumbat ke dalam penjara ketika di bawah rejim Dr. Mahathir iaitu melalui operasi lalang sekitar hujung tahun 1980an

Begitu juga perseteruan antara Dr. Mahathir dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Alasan yang digunakan oleh Dr. Mahathir untuk memecat Anwar cukup jelek dan keji. Malah Anwar didakwa dan disumbat ke dalam penjara.

Hasilnya, Anwar dan keluarga turun ke jalan raya hingga tercetus huru-hara di seluruh negara. Gerakan reformasi secara besar-besaran disusun untuk menjatuhkan Dr. Mahathir. Kini orang yang sama juga mahu mengangkat kembali Dr. Mahathrir.

Apabila Anwar merengkuk dalam penjara, Isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail mengambil alih tugas `memerangi’ Dr. Mahathir dengan dibantu oleh anaknya Nurul Izzah.

Terasa pelik dan pasti tersembunyi agenda di sebalik pakatan yang tidak berdaftar ini

Apa yang menarik semua pemimpin dalam Pakatan Harapan yang kini bergabung dan bersetuju untuk melantik Dr. Mahathir jadi perdana menteri sekiranya mereka memang pernah dipenjarakan oleh Dr. Mahathir.

Kit Siang, Anwar dan Mohamad Sabu, semua pernah merasa berada di sebalik tirai besi, pernah menghuni penjara Kamunting ketika Dr. Mahathir menjadi perdana menteri.

Persoalan yang timbul sejauh mana ikhlasnya Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng; Anwar dan isterinya Wan Azizah serta Mohamad Sabu menyokong Dr. Mahathir sebagai calon perdana menteri?

Adakah sokongan itu merupakan sekadar helah oleh DAP, PKR dan PAN untuk menarik undi daripada kelompok yang masih bersimpati dengan Dr. Mahathir?

Begitu juga dengan Anwar dan Wan Azizah. Perjuangan Wan Azizah melalui PKR adalah untuk mengangkat suaminya menjadi perdana menteri. PRU14 merupakan peluang terakhir untuk Anwar menjadi perdana menteri jika pakatan menang. Jadi, kenapa Wan Azizah menyokong Dr. Mahathir? Tentu ada helah dan strategi di sebalik sokongan yang diberikan.

Dr. Mahathir pula sekiranya pakatan menang dan beliau berjaya menjadi perdana menteri sekali lagi adakah beliau akan mengotakan janji-janjinya kepada DAP, PKR dan PAN yang merupakan seterunya sejak sekian lama?

Sedangkan semua orang tahu tujuan Dr. Mahathir kembali ke politik selepas bersara adalah untuk memasti anaknya Mukhriz berada di landasan yang betul untuk menjadi pemimpin negara.

Pada dasarnya, semua pemimpin dalam pakatan harapan ini mempunyai agenda peribadi yang tersendiri untuk dicapai.

Untuk mencapai matlamat perjuangan peribadi itu mereka kini saling tungang menunggang antara satu sama lain. Saling mengguna dan mempergunakan antara satu sama lain. Matlamat kini adalah menumpaskan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu.

Selepas matlamat menjatuhkan BN tercapai sudah tentu langkah seterusnya adalah mencapai impian peribadi yang telah dipendam sejak sekian lama.

Sudah pasti ada yang akan kena tipu atau tertipu dek pakatan ini. Siapa yang bakal kena tipu? Kita tunggu dan lihat. Yang pastinya jika rakyat tersalah memilih maka mereka akan menyaksikan satu lagi sandiwara yang boleh merosakkan negara. – theRakyat
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment