KENYATAAN MUKHRIZ MEMALUKAN, KATA KJ

Kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang malu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara, disifatkan sebagai kenya­taan memalukan daripada seorang bekas pemimpin negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pendirian Mukhriz itu bukan sahaja memalukan malah jelas menunjukkan beliau tiada langsung semangat cintakan negara.

Katanya, meskipun terdapat percanggahan pendapat dan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan sama sekali oleh mana-mana individu.

“Walaupun kita tidak bersetuju dengan kerajaan dan negara sendiri, janganlah sampai kita malu untuk mengaku diri sebagai rakyat Malaysia. Bagi saya, itu satu pendirian yang sangat memalukan.

“Saya sendiri kalau tidak setuju dengan kerajaan, saya tidak akan cakap yang saya malu sebagai rakyat Malaysia. Saya dan kita semua sentiasa rakyat negara ini dan kita perlu berbangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya selepas program Touch Point Bersama Persatuan-Persatuan Belia dan Sukan Setempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Serong, di sini hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berhubung kenyataan Mukhriz dalam satu program di Baling, Kedah, yang mendakwa berasa malu mengaku berasal dari Malaysia apabila berada di luar negara kerana imej negara di mata dunia semakin tercalar.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kenya­taan tidak bertanggungjawab Mukhriz itu merupakan isyarat jelas kepada pengundi menge­nai sikap sebenar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

“Pada pilihan raya akan datang, pengundi perlu menilai betul-betul adakah pemimpin seperti ini yang mahu diangkat sebagai pemimpin negara yang malu mengaku sebagai rakyat negara sendiri,” katanya.

Mengenai kempen #UndiRosak yang giat dijalankan di media sosial, beliau berkata, kempen itu difahamkan dijalankan oleh pihak tertentu yang tidak yakin dengan keputusan Pakatan Harapan yang diketuai DAP menamakan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tiada sesiapa pun di dalam Barisan Nasional (BN) yang menyokong kempen itu. Itu bukan kempen penyokong BN. Saya sendiri harap mereka yang membuat keputusan tidak mengundi itu akan menyokong dan undi BN,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana