Hukuman buang daerah masih relevan...

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata hukuman buang daerah yang dikenakan ke atas penjenayah masih relevan untuk dikekalkan.

Menurut Nur Jazlan, kerajaan akan terus mengkaji untuk menambah baik pengisian program untuk individu yang dibuang daerah agar terus relevan dengan perkembangan semasa.

"Elemen buang daerah bukanlah sesuatu yang asing dalam undang-undang yang berbentuk pencegahan, individu-individu yang dibuang daerah ini atau dalam istilah sebenarnya dalam pengawasan polis bukanlah diabaikan pihak kerajaan.

"Orang-orang yang diletakkan di bawah pengawasan polis ini dipantau oleh ketua polis balai dan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan mengikut kesesuaian kemahiran dimiliki mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk William @ Nyallau Badak (BN-Lubok Antu) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula program membanteras jenayah menerusi hukuman buang daerah yang menurutnya tidak berkesan dalam memberi pengajaran kepada penjenayah yang terlibat.

Nur Jazlan berkata individu yang dikenakan hukuman sekatan itu juga diberikan peluang untuk mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu keluarga mereka sekiranya berkelayakan.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada individu yang dibuang daerah atau disekat bagi peningkatan kadar jenayah di sesuatu kawasan.

Katanya, individu yang dibuang daerah biasanya menjalani hukuman itu selama dua tahun dan akan mengikuti proses pemulihan sebelum dibenarkan pulang ke tempat asalnya selepas selesai proses itu.

Menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang ingin tahu statistik terkini pemenjaraan wanita yang terlibat dengan dadah, Nur Jazlan berkata sehingga 9 Okt lepas, terdapat sebanyak 1,703 orang wanita dipenjarakan berkaitan kesalahan itu dengan 931 telah disabitkan, manakala 772 masih dalam reman.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana