USAHA PAS UNTUK TAWAN SELANGOR HANYA SIA-SIA, RAMAL PENGANALISIS

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjangkakan Pas tidak mempunyai peluang untuk menawan Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika parti Islam itu bertegas tidak mahu bersama komponen pembangkang lain melawan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata keputusan Pas untuk bersendirian dalam pilihan raya ini akan menyukarkan parti untuk mempertahankan kerusi sedia ada kerana tidak mendapat sokongan pengundi Cina.

Katanya strategi digunakan Pas yang bergabung dalam pakatan pembangkang semasa pilihan raya lalu memberi kelebihan kepada parti itu untuk beralih daripada sebuah parti nominal kepada sebuah parti dominan.

“Sebelum ini Pas mempunyai pakatan politik dengan mereka (DAP dan PKR) di mana itu memberi kelebihan memperoleh sokongan kaum Cina.

“Dulu, ianya satu strategi terbukti dan mereka berjaya beralih daripada sebuah parti daerah kepada parti nasional kerana ideologi mereka merentasi agama,” kata beliau kepada sebuah portal berita.

Tambahnya, mustahil untuk Pas menawan Selangor tanpa dibantu komponen pembangkang yang lain kerana Pas dilihat sebagai parti “satu kaum” dan tidak mempunyai komposisi demografik yang pelbagai.

Kenyataan Dr Faisal itu disokong Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian yang berpandangan bahawa parti Islam itu hanya akan dapat mengalahkan BN di Selangor jika bersedia mengadakan pakatan dengan parti pembangkang yang lain.

Ibrahim berkata keputusan Pas untuk bergabung dengan pembangkang lain akan memberi peluang lebih cerah kepada parti itu untuk menawan Selangor dan mengekalkan penguasaan kerusi sedia ada.

“Contohnya, jika Pas meletakkan calon pada kerusi PKR, penyokong di kawasan itu kemungkinan besar memilih Pas,” katanya.

Tambah beliau, keputusan Pas untuk bertanding melalui Gagasan Sejahtera Rakyat akan memberi kelebihan kepada Umno-BN kerana perpecahan yang berlaku dalam parti pembangkang.

“Undian pembangkang akan terbahagi dan memberi kemenangan kepada BN memenangi negeri dengan undian populariti,” katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata kemenangan selesa Pas dalam pilihan raya lalu bukan semata-mata disebabkan penglibatannya jenteranya, malah turut disokong oleh kekuatan DAP dan PKR.

Menurut Dr Awang Azman, slogan yang digunakan Pas ketika pilihan raya tersebut – ‘Pas Untuk Semua’ – menunjukkan parti itu bukan bersifat eksklusif kepada kelompok tertentu.

Kepimpinan Pas pada 24 Ogos lalu, mengumumkan kesediaan untuk bertanding di 42 kerusi Dun Selangor termasuk Dun Kajang dan Dun Bukit Antarabangsa yang disandang oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengumuman Pas itu menimbulkan polemik dan tanda tanya tentang strategi yang bakal digunakan parti itu untuk menawan Selangor dan memenangi kerusi disandangkan bekas rakan sekutunya semasa dalam Pakatan Rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana