Pembangkang tak akan menang lebih dari 89 kerusi - PAS

89 kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah jumlah yang paling maksimum mampu dicapai pakatan pembangkang yang ada kini, jika mereka bergabung dengan PAS.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata tanpa sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam, pakatan pembangkang akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, jumlah itu mungkin akan berkurangan jika pakatan pembangkang tidak bekerjasama dengan PAS.

"Tiada kerusi lagi yang mampu ditambah pakatan pembangkang dan PAS, setelah sokongan pengundi bukan Melayu-Islam sampai ke tahap maksimum.

"Hanya satu cara saja lagi untuk pakatan pembangkang dan PAS boleh buat dengan memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperoleh majoriti sokongan pengundi Melayu-Islam," katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai pengundi yang dikeluarkan baru-baru ini.

Hasil kajian, IDE mendapati kedudukan Kerajaan Negeri Selangor terus kukuh hasil kerjasama gabungan PKR, DAP, PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membentuk Kerajaan Negeri ketika ini.

Kajian itu juga mendapati sokongan terhadap gabungan ini meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus pada Ogos 2016.

Mohd Zuhdi berkata, pihaknya menghormati hasil kajian IDE itu, namun mempunyai pandangan yang agak berbeza.

Katanya, sokongan terhadap pakatan pembangkang tidak mungkin boleh dicapai jika DAP dan PAN bersama gabungan itu kerana kedua-dua parti itu dilihat oleh masyarakat Melayu-Islam sebagai anti Melayu dan menentang agenda Islam.

"Kemasukan PPBM ke dalam pakatan pembangkang kini sememangnya boleh menambahkan peratus sokongan pengundi Melayu-Muslim, tetapi peratusnya sangat kecil.

"Kami menganggarkan peratus pengundi Melayu-Islam yang mampu ditarik oleh PPBM sekitar tujuh peratus saja. Sebaliknya kemasukan parti itu, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli PERKASA, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu-Islam lari dari pakatan berkenaan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) semula.

"Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan pakatan pembangkang," katanya.

Beliau menjelaskan, fenomena pengundi bukan Melayu-Islam khususnya pengundi Cina, lari dari pakatan pembangkang setelah kemasukan golongan ultra-nasionalis Melayu PPBM, adalah suatu realiti yang sedang berlaku sekarang.

"Peralihan ini mula dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berdasarkan tinjauan kami, peratusan pengundi Cina yang lari dari pakatan pembangkang sekarang adalah sekitar 25 peratus

"Oleh sebab itu, BN meraih sekitar 35 peratus pengundi Cina dan ini adalah satu lagi berita buruk kepada pakatan pembangkang, setelah mereka kehilangan pengundi PAS," katanya.

Beliau turut menjangkakan gabungan pakatan pembangkang dan PAS adalah hampir mustahil boleh berlaku pada masa kini, kerana PAS sendiri sekarang mensasarkan untuk menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang serta mengalahkan DAP di beberapa kerusi parlimen dan DUN yang mereka tandingi di Pahang, Perak dan Selangor.

"Oleh itu, sekiranya DAP dan PAN terus berada dalam pakatan pembangkang, tidak mungkin akan berlaku 'electoral pack' dengan PAS. Malah PAS, pula telah lama bersedia untuk bertanding tiga penjuru, dengan perancangan strategi dan kemantapan jentera.

Sementara itu, Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menegaskan jentera PAS tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR seperti yang berlaku dalam PRU-13.

Katanya, apabila DAP dan PKR memenangi PRU-13 dengan bantuan jentera dan undi PAS mereka telah menyerang pelbagai agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

"Justeru, PRU-14 ini jentera PAS akan fokus kemenangan menerusi Gagasan Rakyat dengan bersaing menentang UMNO/BN dan pakatan pembangkang untuk menang sekurang-kurangnya di lima negeri dan menjadi parti dominan memerintah di peringkat persekutuan.

"Pakatan pembangkang bukan masa depan bagi rakyat Malaysia. Perjuangan jangka pendek mereka hanya untuk menjatuhkan Najib bukannya menukar dasar pemerintahan BN yang telah sekian lama merosakkan negara.

"PAS tidak hanya mahu menukar kerajaan tetapi menukar dasar berkerajaan berasaskan prinsip Islam yang meletak aqidah dan akhlak sebagai asas, dosa pahala sebagai neraca pertimbangan, syariat Islam sebagai landasan berekonomi dan bersosial serta menolak monopoli ekonomi oleh segelintir elit pemerintah, nepotisme dan kronisme serta pemborosan dalam pengurusan kewangannya," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL