MB YAKIN TIADA TSUNAMI POLITIK MELAYU DI FELDA

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Nordin yakin tidak akan berlaku tsunami politik dalam kalangan Melayu khususnya daripada golongan masyarakat Felda.

Kawasan Felda di negeri ini masih merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali gus akan membantu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Insya-Allah (Felda masih kubu kuat UMNO)…mana ada tsunami Melayu. Yang dikatakan tsunami Melayu itu hanya dakwaan dan tujuan DAP untuk mengekalkan tsunami Cina,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik tanah Felda Ulu Penggeli, Kampung Seri Cahaya dan Kampung Ilham bawah Parlimen Sembrong, di Felda Ulu Penggeli, di sini hari ini.

Seramai 607 peneroka menerima hak milik tanah membabitkan 264 peneroka dari Felda Ulu Penggeli, Kampung Sri Cahaya (133) dan Kampung Ilham (210).

Hadir sama Anggota Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang R. Vidyananthan dan ADUN Paloh Teoh Yap Kun.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Johor berkata masyarakat Felda bijak menilai usaha dilakukan kerajaan dan mendokong aspirasi negara.

“Mereka tahu hala tuju dan matlamat kerajaan. Mereka tahu pembangkang tidak mempunyai sebarang pelan untuk rakyat kecuali pembangkang hanya mahu memenangi kerusi sahaja,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata masyarakat khususnya peneroka Felda tidak boleh terikut-ikut dengan pembangkang yang bertujuan memutar belitkan isu menjelang pilihan raya.

Beliau yakin usaha pembangkang untuk melakukan tsunami Melayu tidak berjaya kerana masyarakat Felda mengetahui kerajaan BN ketika ini banyak membela nasib mereka.

“Peneroka tahu siapa yang membela mereka dan sekarang ini kerajaan memberi insentif kepada peneroka. Sebab itu saya lihat usaha melakukan tsunami kepada kaum Melayu pula, saya rasa tidak jalan,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis itu Mohamed Khaled berkata masih terdapat baki 4,000 peneroka Felda di negeri ini yang masih belum menerima hak milik tanah dan ia dijangka selesai pertengahan tahun depan.

Beliau berkata soal pemberian hak milik tanah sama ada mahu dibina rumah atau dijadikan kebun itu merupakan fokus kerajaan negeri bagi kesejahteraan peneroka yang mengusahakan tanah rancangan sejak berpuluh tahun.

“Apa yang diluluskan kerajaan ini bukan semata-mata sebidang tanah tetapi pengiktirafan titik peluh, sejarah dan maruah peneroka kerana kerajaan sedar tanah ini memeta masa hadapan peneroka,” katanya.- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL