TPM arah pengendali KR1M jual barang mahal ditamatkan kontrak

KUALA LANGAT: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan penamatan kontrak syarikat pengendali sebuah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kerana menjual produk lebih mahal daripada harga pasaran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu antara punca rakyat membenci kerajaan, sedangkan formula KR1M ialah menawarkan kualiti produk sama seperti jenama dan kedai lain, tetapi harganya jauh lebih rendah.

"Kenapa jadi begini? KR1M diberi peruntukan dan tidak wajar jual produk lebih mahal daripada pasar raya biasa. Saya sudah arahkan supaya lantik syarikat pengendali lain.

"Datuk Seri Najib Razak lakukan pelbagai perkara untuk ringankan bebanan rakyat dan apa yang berlaku mengecewakan kita," katanya yang dipetik BH Online.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Kuala Langat di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz; Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli; Ketua Wanita bahagian, Rozana Kamaruzzaman; Ketua Pemuda bahagian, Jefrizal Mohd Jaafar dan Ketua Puteri bahagian, Asima Beevi Mohd Sali.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Perindustrian dan Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek dalam tempoh terdekat berhubung kegiatan kartel yang menentukan harga pasaran barangan.

"Orang tengah ambil untung berlebihan dan ada kartel yang mengawalnya (harga pasaran). Apabila harga ikan turun mereka lambakkan bekalan dan apabila (harga) naik simpan (ikan).

"Saya tidak mahu rakyat dimangsakan oleh peniaga serakah dan mereka ini menyalahkan kerajaan," katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment