Jawapan kekal atau keluar dari PAS, hanya mereka yang tahu, kata P'jaya PAS Kedah

SHAH ALAM: Hanya tiga wakil rakyat PAS Kedah yang dikatakan punya 'hubungan mesra' dengan Pakatan Harapan (PH) tahu niat mereka sama ada mahu terus setia bersama parti atau sebaliknya.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata walau apa pun sikap yang diambil mereka, parti kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Persoalan sama ada mereka ingin meninggalkan PAS atau sebaliknya, jawapan ada kepada mereka. Saya tiada jawapannya.

"Sebagai ahli PAS, tak kira ADUN atau ahli Parlimen sewajarnya akur dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan; tidak hanya di Kedah sahaja tetapi semua YB PAS terikat dengan keputusan dan pendirian semasa PAS," katanya kepada Antarapos menerusi aplikasi WhatsApp.

Fakhruddin diminta mengulas ura-ura tiga wakil rakyat PAS dari Kedah bakal meninggalkan parti itu selepas dilaporkan sering hadir dalam program anjuran PH.

Mereka adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.

Mereka juga dilaporkan semakin menonjol dalam pentas ceramah pakatan itu.

PAS mengambil pendirian membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015 selepas parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu mengkritik agenda politik berteraskan Islam yang dibawanya.

Keputusan itu akhirnya membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk sejak 2008.

Mei tahun ini, PAS sekali lagi membuat kejutan memutuskan hubungan politik dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana mendakwa PKR kerap kali melanggar syarat, antaranya bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

"PAS telah mengambil ketetapan seiring dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa PAS tiada hubungan politik dengan parti DAP, Amanah dan yang terakhir adalah PKR.

"Pendirian ini secara tidak langsung mempengaruhi segala bentuk program kepartian termasuklah program ceramah," tegas Fakhruddin merujuk kepada khabar angin melibatkan tiga pimpinan PAS Kedah itu.

Selepas PAS melakukan 'pembersihan' parti pada Muktamar Tahunan 2015, hanya Mahfuz sahaja dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan utama parti dengan bertindak mengkritik dan mempersoal dasar perjuangan PAS selepas bergerak secara sendirian.

Meskipun mengakui dirinya masih ahli PAS, namun tindakannya mesra PH menimbulkan resah di kalangan ahli akar umbi.

Pun begitu, Pengerusi Lembaga Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku Mahfuz, dan menyebabkan mereka tidak dapat mengambil tindakan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana