Pembatalan tahaluf siyasi PAS-PKR beri kesan kepada semua parti pembangkang

GOMBAK: Tindakan PAS memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR dijangka bakal memberi kesan kepada keseluruhan parti pembangkang, demikian pendapat Ketua Assabiqun PAS Wilayah Persekutuan, Subky Latif.

Tegasnya, keputusan itu dilihat akan memberi senario baru dalam dunia politik di negara ini kerana parti Islam itu bakal menjadi pesaing kuat kepada semua parti lain apabila yakin untuk bergerak sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Dia memberi impak yang besar kepada politik pembangkang di negara ini, bukan sahaja kepada PAS, tetapi kepada semua parti pembangkang.

“Dan ia juga menjadi satu ancaman kepada Umno dengan pendekatan yang ada pada PAS sekarang ini dan Barisan Nasional (BN),"katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.

Beliau turut mengkritik tindakan beberapa pemimpin parti lain yang sebelum ini mendesak tiga Exco PAS di Selangor untuk meletakkan jawatan yang disifatkannya sebagai mengarut dan tidak wajar.

“Jadi kalau orang kata PAS patut letak jawatan, mengapa dulu mereka tak kata PAS perlu letak jawatan semasa berpecah dengan DAP.

“Kita dah putus dengan DAP dua tahun dah, tetapi kita berada di Selangor, tetapi kenapa kita nak keluar sekarang ni?

“Kita berpecah dengan DAP, tetapi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), kita menyokong kerajaan dan DAP sebahagian daripada kerajaan dan dalam kerajaan pula DAP ada, PAS pun ada. Jadi, kalau kita boleh berada dalam kerajaan bersama DAP dan duduk bersama dengan DAP bersama kerajaan, jadi sebab apa kita nak putus pula dengan PKR,” katanya.

PAS pada Mei lalu membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR selepas parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu dikatakan membuat banyak pelanggaran perjanjian semasa terjalinnya kerjasama.

Keputusan PAS itu juga dibuat ekoran sikap PKR yang tidak menyokong cadangan PAS dalam beberapa isu terutamanya berkaitan Rang Undang-undang 355 (RUU355).

Susulan daripada terputusnya tahaluf siyasi PAS-PKR, tiga Exco PAS di Selangor acap kali didesak untuk meletakkan jawatan mereka kerana disifatkan sebagai tidak lagi relevan untuk tiga pemimpin itu untuk terus kekal menjawat jawatan tertinggi di Selangor yang dipimpin oleh PKR.

Namun, selepas beberapa ketika kekalutan itu berlaku, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengekalkan kedudukan ketiga-tiga exco PAS di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Azmin Ali itu sehingga PRU akan datang.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini menjangkakan isu peletakan jawatan wakil partinya di Kelantan akan diselesaikan sepenuhnya pada hujung Julai ini.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment