SYED SADDIQ CABAR HAMIDAH LETAK JAWATAN NAIB PRESIDEN PPBM

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak lagi tahan dengan Naib Presiden PPBM Hamidah Osman yang dia percaya bertanggungjawab ke atas perpecahan parti itu di Perak.

Ketua pemuda PPBM berkata Hamidah punca tindakan 1,000 ahli PPBM Perak keluar parti kononnya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, beliau mencabar Hamidah meninggalkan parti daripada menjadikan ahli-ahli “yang baik” mangsanya.

“Saya tahu dia (Hamidah) punca keadaan ini. Saya akan berkata secara terus terang: Saya mahu Hamidah letak jawatan.

“Dia perlu berhenti jadi pengecut dengan menghantar askarnya ke depan dan mengorbankan orang yang baik bagi tujuan peribadi.

“Jika anda masuk parti untuk jawatan, sila berambus,” katanya kepada FMT.

Syed Saddiq juga menyifatkan bekas ketua Wanita Umno Gopeng itu sebagai seorang hipokrit yang kecewa selepas Muhyiddin tidak menamakan beliau sebagai ketua PPBM negeri.

Beliau berkata Hamidah suka mengampu Muhyiddin, sehinggalah Ahmad Faizal Azumu dinamakan ketua PPBM Perak.

“Sebelum ini, beliau selalu memuji Muhyiddin, di depan saya dan semua orang, sehingga saya berasa tidak selesa.

“Titik perubahan apabila Muhyiddin dan (Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir (Mohamad) tidak melantik beliau sebagai ketua di Perak.

“Tiba-tiba, beliau mula mengutuk Muhyiddin tidak tahu bagaimana untuk memimpin.

“Secara jujurnya, ia agak menjijikkan, terutamanya bagi Faizal, seorang anak muda yang benar-benar berbakat.

“Hanya kerana Faizal tidak setua atau berpengalaman sepertinya, Hamidah kini menyerang Faizal dan Muhyiddin.”

Syed Saddiq berkata serangan Hamidah didokumenkan dalam mesej WhatsApp dari pelbagai pihak, dan dalam perbualan dengan ahli parti.

“Jadi (PPBM) menang atau kalah (pilihan raya umum akan datang) … jika dia punca keadaan ini, lebih baik tinggalkan parti ini.

“Saya tidak fikir parti perlu bertolak ansur dengan orang yang masuk parti hanya untuk kuasa dan kedudukan.”

Pada Jumaat, Ketua Bahagian Ipoh Timur PPBM, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Teluk Intan Jemaat Yaacob membawa lebih 1,000 anggota PPBM bahagian Perak menyerahkan surat peletakan keahlian mereka.

Azrul dipetik sebagai berkata Muhyiddin gagal untuk menyelesaikan konflik di peringkat kebangsaan dan negeri walaupun diberi seminggu untuk berbuat demikian.

Bekas ketua pendaftar PPBM negeri itu juga berkata beliau kecewa kerana tiada tindakan diambil selepas beliau mengingatkan bekas timbalan perdana menteri tentang peletakan keahlian yang akan membawa kesan negatif terhadap imej dan kredibiliti parti.

Tetapi menurut Syed Saddiq, lebih baik mereka meninggalkan sekarang dan bukan apabila PPBM, bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH), berjaya melangkah ke Putrajaya.

Ini kerana kerosakan mereka yang didakwa “ejen Umno” ini boleh lakukan jika PH menjadi kerajaan adalah lebih teruk.

“Parti akan menjadi lebih kuat kerana ini berbeza dengan orang yang meninggalkan parti, sebagai contoh, atas kesalahan jenayah yang dilakukan pucuk pimpinan parti, atau apabila kita tidak menjalankan tugas kami.

“Jika kita melihat Mahathir, Muhyiddin, dan (timbalan presiden PPBM) Mukhriz Mahathir, setiap hari mereka bergerak ke seluruh Malaysia untuk memberi ceramah.

“Tetapi apabila ia mengenai orang yang tamak dan gila kuasa, saya fikir lebih baik mereka meninggalkan parti agar parti kekal bersih daripada orang korup dan tamak.

Syed Saddiq berkata demikian selepas Mahathir di blognya 22 Mei lepas berkata mereka yang menggesa Muhyiddin meletak jawatan atau dipecat, mahu menggagalkan usaha PPBM untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya umum ke-14.

Hamidah ketika dihubungi untuk mengulas dakwaan ini, berkata beliau akan menjawabnya “kemudian”.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana