KRITIK PROTON, MAHATHIR LUPA SEJARAH KEGAGALAN PERWAJA?

Tun Dr Mahathir Mohamad perlu cermin diri sebelum ‘meratap’ pemilikan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di dalam syarikat pengeluar kereta nasional, Proton, kata Penganalisis Politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Ramlah merujuk kepada skandal Perwaja Steel (Perwaja) yang merugikan kerajaan sehingga mencecah RM10 bilion ketika era pentadbiran Dr Mahathir.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan kehairanannya mengapa bekas perdana menteri itu beria-ia mengkritik pemilikan syarikat dari China itu, sedangkan langkah tersebut dibuat bagi menyelamatkan Proton daripada terus mengalami kerugian.

“Dr Mahathir tidak boleh terlalu menggunakan sentimen orang ramai untuk menyalahkan kerajaan jual Proton.

“Sentimen Dr Mahathir itu perlu juga kita pandang, tetapi beliau tidak boleh katakan seolah ‘hilang anak’. Sedangkan Perwaja adalah satu kes yang dahsyat, berbilion duit kerajaan hilang, kemudian beri kuasa kepada orang China untuk jaga, kemudian ada suatu keadaan di mana tidak boleh ‘diusik’ oleh perlembagaan dan sebagainya.

“Pada saya itu juga ‘deal’ yang berat sebelah. Mengapa beri mereka peruntukan atau kedudukan yang besar hingga kerajaan tak boleh kacau? Malah kejatuhan Perwaja juga tak boleh dibicarakan di mahkamah,” kata Ramlah ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini meluahkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan menyerahkan kepentingan pemilikan Proton sebanyak 49.9 peratus kepada Geely.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa perkembangan tersebut sebagai permulaan kepada ‘penjualan besar-besaran’ dengan menyifatkan penjualan hampir separuh kepentingan itu sebagai ‘anak yang sudah hilang’.

Mengulas lanjut, Ramlah hairan mengapa Dr Mahathir sendiri tidak berusaha membaik pulih Proton ketika masih bergelar penasihat syarikat pengeluar nasional itu, meskipun sedar kemerosotan permintaan dan masalah lain yang melatarinya.

“Jika beliau sendiri tak dapat selamatkan Proton walau dengan kedudukan yang hebat dan pengaruh yang besar, mengapa apabila ada tindakan lain untuk selamatkan Proton, beliau marah? Beliau mahu (Proton) lingkup, jadi sejarah seperti Perwaja barulah beliau tak merungut kononnya Najib jual negara. Sedangkan ini bukan syarikat kerajaan sebaliknya lembaga pengarah yang buat keputusan,” tegasnya lagi.

Untuk rekod DRB-Hicom masih mempunyai pegangan 50.1 peratus kepentingan dalam Proton dan penjualan 49.9 peratus sahamnya kepada Geely adalah sebagai langkah untuk menyelamatkan syarikat nasional itu daripada muflis.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu terpaksa diambil bagi mengelakkan Proton mengalami kerugian yang lebih besar dan kemudiannya menerima nasib yang sama seperti Perwaja.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas kritikan Dr Mahathir apabila memberitahu bekas perdana menteri itu pernah menyokong kerjasama syarikat luar dengan Proton beberapa tahun lalu, dalam usaha menyelamatkan syarikat berkenaan. -AP
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment