“JAHANAM PAN” & PUTUS TAHALUF SIYASI PKR – SEJAUH MANAKAH KETEGASAN PAS?

“Jahanam PAN” – Itu lafaz dari Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir yang menunjukkan semangat dan cita-cita muktamirin dan muktamirat untuk berpatah arang berkerat rotan dengan serpihan parti mereka. Sejarah kebersamaan mereka menyaksikan bagaimana PAS dibuli oleh DAP, persis berkasta “pariah” di dalam barisan pakatan pembangkang.

Sentimen garang tersebut dizahirkan pula oleh Dewan Pemuda PAS hari ini, yang meluluskan usul “talak tiga”, sesuatu yang tidak mengejutkan jika diambil kira dari sindirian PKR kepada PAS baru-baru ini berhubung insiden “tok lebai”.

Saifuddin Nasution, Penasihat Strategik Lim Guan Eng merangkap Setiausaha Agung PKR sudah pun secara terbuka “menghalau” PAS dari kerajaan negeri Selangor seandainya benar PAS mengambil keputusan untuk bermufarakah. Logiknya, jika sudah tidak bersama, mengapa perlu tinggal sebumbung. Wajar untuk semua ahli PAS yang memegang jawatan di dalam kerajaan negeri Selangor untuk melepaskan jawatan.

Persoalannya, sejauh mana PAS, yang mencipta “trending” U-Turn di dalam sejarah politik tanahair suatu ketika dahulu sebelum dirampas oleh Pakatan Harapan, mampu bertegas dengan keputusan bermufarakah itu?

Di Selangor, ahli PAS mengisi jawatan-jawatan yang tidak kurang lumayan, dari Exco Kerajaan Negeri sehinggalah ke jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), dan jawatan-jawatan ini pula menghasilkan imbuhan kewangan. Itu belum diambil kira dari kelahiran kontraktor-kontraktor di kalangan mereka yang menikmati hasil tahaluf siyasi bersama PKR dan DAP.

Bersediakah untuk PAS menghadapi cemuhan dari segenap peringkat parti, yang semenjak PRU13 berpaut kepada kerajaan negeri Selangor dalam soal pulangan kewangan? Sedang cemuhan dari luar parti itu adalah pasti, rasa tidak puas hati golongan berjawatan tentang keputusan tersebut pasti mengundang gelora dalaman parti. Apa tidaknya, penulis pasti golongan-golongan tersebut pasti telah diletakkan di jawatan-jawatan strategik di dalam parti, dan ketidakpuasan hati bakal memungkinkan berlakunya sabotaj dalaman pada PRU14 nanti.

Bukanlah sesuatu yang rahsia, PAS Selangor dilihat sangat condong sokongannya kepada Azmin Ali. Dan Azmin Ali juga seorang ahli politik yang licik, yang tahu “know-how” perihal politik. Jika tidak, mana mungkin Anwar Ibrahim dan Wan Azizah mampu di”cilok”nya di selekoh terakhir, menuju garisan penamat “Langkah Kajang”.

Apakah PAS akan kembali merampas takhta selaku “Raja U-Turn”? Kita tunggu muktamad dari PAS apabila berakhirnya muktamar nanti.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment