DUN Selangor panas gara-gara panggilan 'tok lebai' oleh ADUN DAP
Seorang ADUN DAP sengaja cari pasal dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu selepas mengeluarkan perkataan ‘tok lebai’ yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor, menyebut perkataan ‘tok lebai’ yang merujuk kepada individu tertentu yang menjadi punca ketidaktentuan ekonomi negara dan kejatuhan nilai ringgit.
ADUN DAP itu menegur “tok lebai” dalam ucapan di dalam dewan berkaitan rasuah dan penyelewengan.
Weng San menggesa Selangor menjadikan pengisytiharaan aset secara terbuka sebagai kehendak mandatori dari segi undang-undang, bagi mempertahankan pegawai atasan kerajaan dan wakil rakyat dari tidak terjerumus rasuah.
“Masalah rasuah bukan calang-calang isu. Persepsi rasuah serius dan menjejaskan iklim pelaburan negara, akibat pentadbiran kewangan yang lemah displin dan sarat dengan penyelewengan.
“Ada ‘tok lebai’ di dalam dewan ini mengatakan isu 1MDB sudah lapuk,” kata Weng San, tanpa menamakan mana-mana orang agama dari parti tertentu.
Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kemudian bangun mencelah dan menegur Lau untuk tidak menggunakan perkataan itu lagi sebab ia seolah-olah menghina agama Islam.
“Sebut 2-3 kali ‘tok lebai’, apa maksud ‘tok lebai’? Apakah mahu menghina agama Islam atau tuju kepada siapa? Ulama? Ahli majlis fatwa?”
“Itu imej yang baik untuk orang Islam. Tarik balik perkataan itu,” kata Sulaiman.
“Dalam agama Islam, ‘tok lebai’ merujuk kepada agamawan, ahli cendekiawan agama dan paling tidak tok imam,” katanya.
Namun, Lau enggan menerima teguran Sulaiman sehingga menyebabkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan bertikam lidah.
Timbalan Speaker Mohd Shafie Ngah bersetuju dengan Sulaiman dan meminta Weng San menghentikan penggunaan gelaran itu dalam ucapannya.
Lau kemudian memohon maaf jika tindakan beliau itu menyinggung perasaan umat Islam.
“Saya mohon maaf sekiranya perkataan ‘tok lebai’ menyinggung perasaan mana-mana pihak,” katanya.
Ditemui di luar dewan, Sulaiman berkata, penggunaan gelaran “tok lebai” oleh Adun DAP dalam ucapan yang dianggap “tidak ada haluan” sudah menghina orang Islam.
“Saya nak tegur DAP yang menggunakan perkataan ‘tok lebai’. Dalam agama Islam, dan kadang-kadang orang Melayu, ‘tok lebai’ merujuk kepada agamawan, iaitu orang yang dihormati sebagai guru agama, ahli agama, paling tidak pun untuk tok imam.
“Tapi bila guna bidasan ‘tok lebai’ dengan hujah yang saya rasa tidak ada haluan, ini satu penghinaan kepada orang Islam,” katanya.
Istilah ‘tok lebai’ menjadi popular selepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi akaun twitternya baru-baru ini merujuk seorang individu sebagai ‘tok lebai’ yang dikatakan bercita-cita hendak menawan Selangor.
“Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” kata Azmin.
Comments