Najib jangka Dr Mahathir yang 'super ego' besar akan lebih agresif menyerang…

Cuba kira berapa tahun lamanya Datuk Seri Najib Tun Razak duduk sebumbung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia bermula sejak 1976 ketika beliau jadi Ahli Parlimen Pekan pada usia 23 tahun.Kemudian melalui pelbagai liku politik termasuk pemilihan UMNO yang sengit tahun 1987 dan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun 1998.

Juga sengketa Dr Mahathir – Tun Abdullah Badawi sehinggalah beliau jadi Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Setelah melalui segalanya beliau tentu cukup kenal siapa sebenarnya bekas Perdana Menteri itu yang kini sudah pusing 360 darjah dalam banyak pendirian dulu.

Najib sendiri mungkin tidak pernah termimpi beliau juga terpaksa berdepan dengan karenah bekas bosnya yang kini sedang rancak tembak kiri kanan depan belakang untuk menjatuhkanya.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO kali ini beliau menjangka serangan Dr Mahathir bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sedang memadu asmara dengan Pakatan Harapan terhadapnya terus memuncak.

Siapa saja yang mengikuti interbiu yang disiar di TV3 Isnin malam dapat merasa mesej jelas tersirat dari Najib bahawa beliau masih berdiri teguh untuk berdepan dengan cabaran ini.

Najib nampak cukup relaks sepanjang interbiu itu termasuk soalan mengenai mengenai Dr Mahathir.

Ketika diminta berkongsi rahsianya menghadapi pelbagai serangan ,Najib dengan tenang berkata :"Saya dah faham dengan pemimpin seperti Dr Mahathir, kaedah dan mesej (yang beliau gunakan)".

Agak menarik beliau tidak berselindung bekas Perdana Menteri yang kini Pengerusi PPBM itu sebagai seorang pemimpin yang mempunyai 'super ego' yang besar.

"Kalau dia bertarung dia mesti nak menang, cuba nak menang. Sekarang dia tak berjaya dia akan lebih agresif dengan kata-kata dan sebagainya," katanya pada program Soal Jawab Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 itu.

Rancangan yang disiarkan kira-kira sejam itu diperantarakan oleh Hamdan Ahmir dan disertai Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zulkefli Hamzah dan pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Presiden UMNO itu berkata usaha Dr Mahathir menjatuhkan beliau menerusi Deklarasi Mahathir juga tidak berhasil kerana ia tidak sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan sehingga ditolak oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja, bulan lalu.

Sehubungan itu, Najib berkata Dr Mahathir tidak mempunyai pilihan selain daripada menyerangnya kerana beranggapan untuk menumbangkan UMNO, presiden parti perlu ditumbangkan terlebih dahulu.

"Waktu Dr Mahathir jadi Presiden UMNO, orang yang sama duduk keliling dia hari ini mengata dia lagi teruk sebenarnya. Kalau kita tengok balik 'tape-tape', video lama mereka mengutuk Dr Mahathir lagi dahsyat.

"Ini proses politik, mainan politik. Jadi sekarang ini dia tak berjaya dia akan jadi lebih agresif lagilah dengan kata-kata dan sebagainya," kata Najib.

 Najib berkata sokongan padu daripada anggota parti selain Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) juga merupakan antara faktor beliau terus bertahan.

"Saya lihat parti PAS pun tak bersama dengan dia. Dalam pembentangan Bajet 2017, PAS tidak menyokong pembangkang (Pakatan Harapan) menolak bajet," katanya.

Apapun Najib mengingatkan anggota parti itu supaya tidak memandang rendah parti lawan terutama yang dipimpin bekas pemimpin kanan UMNO.

Katanya walaupun penubuhan parti baharu oleh bekas pemimpin berkenaan tidak menampakkan satu gelombang sokongan yang ketara, namun UMNO perlu berusaha sedaya upaya mengekalkan kuasa yang ada padanya.

"Saya melihat bahawa kalau kita kaji fenomena bila PKR ditubuhkan, (susulan) Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar daripada UMNO, kita lihat masa itu gelombang itu lebih ketara daripada apa yang berlaku hari ini.

"Kesannya tak sama, tetapi saya sedar bahawa di mana kawasan Bahagian atau Parlimen, mesti ada orang yang tidak puas hati atas sebab-sebab tertentu, tak dapat apa yang dia hendak sebagainya, kecewa, jadi mereka cuba kumpul, kutip orang seperti ini, untuk masuk dalam parti mereka untuk menentang kita, itu saya sedar," katanya.

Najib bagaimanapun menegaskan bahawa peringatan itu bukan bermakna parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu berasa takut dengan parti lawannya.

"Bukan kita takut pada mereka, lain dengan soal takut, tetapi kita jangan under-rate (pandang rendah) mereka dan kita mesti melakukan apa yang patut kita lakukan untuk mengekalkan kekuasaan yang ada pada kita," katanya.

Mengenai impak gabungan Pakatan Harapan dengan parti baharu terhadap BN, Najib berkata rakyat perlu membuat penilaian dan pilihan antara BN yang ditunjangi UMNO dan pembangkang diketuai DAP.

"Rakyat mesti tahu apa dia dasar DAP, dasar perjuangan, pendirian DAP... sudah tentu mereka akan cuba melenyapkan agenda Bumiputera umpamanya.

"Mereka tidak akan menyokong apa-apa yang bersangkut paut dengan agenda Bumiputera. Itu satu hakikat, soal kedudukan Islam umpamanya, kita nak membangunkan Islam, kita nak meninggikan syiar Islam. Apakah pendirian DAP dalam hal ini?" katanya.

Ditanya mengenai UMNO yang dikaitkan dengan isu perjuangan kaum Melayu dan agama Islam, Najib berkata rakyat perlu melihat dasar UMNO secara keseluruhan yang mengamalkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah), progresif dan membawa transformasi dalam sistem negara.

Katanya rakyat juga tidak seharusnya menilai UMNO daripada perbuatan segelintir anggotanya yang bertindak ekstrem dalam memperjuangkan sesuatu perkara.

"Apa yang mereka lakukan kalau mereka tidak senang hati, itu bukan UMNO sebab itu tindakan individu ataupun kumpulan yang kecil," katanya.

Perdana Menteri juga menyifatkan dakwaan kononnya Malaysia akan bankrap dan sebuah kerajaan yang gagal hanyalah sebagai serangan politik kerana ia tidak disokong fakta dan kenyataan yang sahih.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membidas tanggapan sedemikian berkata dakwaan oleh sekumpulan kecil itu dilihat lebih bermotifkan politik.

Katanya rakyat perlu lebih bijak menilai dengan menganalisis fakta dan kenyataan yang datangnya dari pihak yang tidak berkepentingan seperti agensi penarafan, Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

"Inilah yang perlu kita jelaskan kepada rakyat bahawa mereka tidak boleh percaya apa yang tidak disokong dengan kenyataan dan fakta...kenyataan dan fakta ini mestilah datang daripada pihak yang tiada kepentingan.

"Ulasan mereka (pihak yang tiada kepentingan), analisis mereka itu adalah sebenarnya lebih tepat daripada apa sahaja yang didakwa oleh mana-mana pihak yang bermotifkan politik," katanya.

Najib yang baru-baru ini pulang daripada menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menyatakan beliau ada bertemu dengan wakil agensi penarafan seperti Moody's dan juga Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde ketika di Lima, Peru.

"Kalaulah kita menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan seperti Moody's, wakilnya di situ akan beritahu mereka melihat keadaan ini memang akan membawa kepada kemudaratan kalau kita tidak melakukan sesuatu.

"Lagarde (juga) tidak membayangkan bahawa kita dalam keadaan krisis," kata beliau.

Pada sesi dialog tidak rasmi pemimpin APEC bersama Lagarde di Peru minggu lepas, IMF menyokong langkah yang diambil ke atas mata wang Malaysia, selain menyatakan pergerakan nilai ringgit adalah di luar kawalan.

Lagarde menyokong apa yang Malaysia lakukan iaitu pengapungan mata wang sebagai barisan pertahanan terbaik disebabkan apa yang berlaku pada ringgit adalah di luar kawalan.

Najib turut berkongsi perbualannya dengan bakal Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump semalam (27 Nov) yang menyifatkan Malaysia mempunyai ekonomi yang baik berikutan perkembangan ekonomi negara yang berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Ketika ditanya sama ada prestasi ekonomi tidak menentu tahun depan dan selanjutnya akan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan mempengaruhi sentimen politik rakyat, Najib berkata apa yang berlaku pada ekonomi global adalah di luar kawalan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan telah melakukan apa yang terbaik untuk rakyat bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global selama ini.

"Saya percaya rakyat akan faham bahawa hari ini apa yang kita lakukan adalah yang terbaik untuk rakyat dan kita merupakan pihak yang boleh memenuhi harapan rakyat berbanding dengan alternatif yang ada," kata Perdana Menteri.

Atas dasar itu, beliau berkata Barisan Nasional pernah memenangi pilihan raya pada zaman kemelesetan ekonomi serta menang besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei lepas walaupun sesetengah pihak meramal akan kalah berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu, BN juga menang besar pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak, katanya.

Najib dalam pada itu berkata subsidi kerajaan juga dikekalkan antaranya untuk kesihatan dan pendidikan bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Beliau keal dengan tindakan segelintir pihak yang sering kali mencari pelbagai alasan untuk mengecam beliau termasuk usahanya mencari pelaburan asing.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata usaha beliau untuk meningkatkan ekonomi negara dengan membawa pelabur asing ke Malaysia turut dikecam dan dilabel sebagai cuba menggadai negara.

"Kalau kita tak bawa masuk pelaburan dia kata kita gagal, tapi kalau kita bawa masuk pelaburan dia kata kita menggadaikan negara. Ini mainan politik.

"Bila masa bawa masuk pelaburan jadi soal kedaulatan? Selama ini tak timbul apa? Apa beza pelaburan dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan dari China? katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan pelaburan asing di negara ini adalah mengikut kandungan tempatan seperti ditetapkan dasar kerajaan.

"Janganlah termakan dengan dakyah seperti itu (menuduh pelaburan asing sebagai menggadai negara) sebab dakyah tersebut tak masuk dalam aliran pemikiran yang rasional," katanya.

Ditanya mengenai Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dikritik sebagai mahal, Najib menafikannya dan menyifatkan projek bernilai RM55 bilion itu unik daripada segi topografi atau muka bumi.

Menurut Najib, kerajaan akan membuat penanda aras dan penilaian berdasarkan projek di tempat lain serta penilaian pengurusan agar ECRL itu mempunyai nilai untuk wang.

Katanya pakej projek yang menarik termasuk pembiayaan Exim Bank of China dengan terma yang menarik menjadikan ECRL projek yang mampu merangsang ekonomi negeri-negeri pantai timur sehingga 1.5 peratus.

Najib berkata pelaksanaan ECRL itu juga dapat mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan pantai barat dan pantai timur.

Pembinaan ECRL sepanjang 600 kilometer diumumkan Najib semasa membentangkan Bajet 2017 bulan lalu ia akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang de-ngan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL