Akaun muat naik berita kehilangan pesawat MAS adalah palsu - SKMM
KUALA LUMPUR: Akaun yang memuat naik berita kononnya sebuah pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) hilang dari radar, adalah palsu, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata berita palsu itu dimuat naik atas nama samaran 'Sharifah Sofia Syed Rashid'.
Sehubungan itu, katanya SKMM sedang menyiasat dan mengesan pihak yang memuat naik berita palsu itu kononnya pesawat MAS hilang daripada radar dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Melbourne.
Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk menyebarkan berita yang palsu dengan niat untuk mengganggu orang lain.
"SKMM ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebar, memuat naik, mahupun mempercayai sebarang berita yang belum ditentukan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan," katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Zulkarnain meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai akaun atau mana-mana pihak berkaitan boleh menghantar maklumat berkenaan kepada aduanskmm@cmc.gov.my.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) semalam menafikan khabar angin kononnya pesawat MH149 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Australia pada 23 Feb, hilang dari radar dan tidak dapat dikesan.
Pada 24 Februari, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman yang menafikan berita itu, berkata pesawat berkenaan yang berlepas dari KLIA pada 10.07 malam telah selamat mendarat di Melbourne pada 8.21 pagi waktu tempatan (5.21 pagi waktu Malaysia).
Gadis yang memuat naik berita itu turut dikecam para pengguna Facebook kerana didakwa cuba menyebarkan berita palsu.
Comments