Seolah Ada Muslihat Kritik Institusi Islam

MASIH belum reda lagi isu penarikan pelaburan Tabung Haji dari Tun Razak Exchange, kini muncul pula tuduhan terhadap dua lagi institusi Islam iaitu Jakim dan Yapeim. Menyedihkan apabila tuduhan itu datangnya daripada orang Islam sendiri.

Memberi kritikan membina dan sihat untuk kebaikan institusi Islam sememangnya baik, namun melakukan kritikan tanpa usul periksa dan mengetahui latar yang sebenar boleh mencacatkan pandangan setengah orang terhadap peranan institusi yang sangat berjaya itu.

Sikap reaktif melulu tanpa usul periksa yang saksama dan adil kerana jiwa kepembangkangan dan prasangka buruk yang tinggi menyebabkan pelaburan Tabung Haji ditarik balik. Bayangkan, sekiranya rasionalisasi 1MDB berjaya dilakukan alangkah ruginya Tabung Haji kerana pelaburan itu boleh memberi pulangan besar kepada ahli-ahli Tabung Haji pada masa depan. Begitu juga kritikan melulu Mohamad Taufik Tun Dr. Ismail, anak sulung tokoh negara yang dihormati Tun Dr. Ismail supaya Jakim dibubarkan kerana mencampuri urusan peribadi orang Islam adalah melampau dan tidak faham sejarah penubuhan Jakim dan peranannya.

Jakim yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri 1997 berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah. Terlalu banyak untuk disebut peranan Jakim dalam memartabat dan memperkasa Islam dan umatnya di Malaysia.

Jika dahulu seorang bukan Islam mengkritik khutbah Jakim sebagai menghasut masih boleh lagi difahami. Namun kritikan harus berasaskan fakta dan kebenaran. Islam sebagai agama yang disalah faham oleh orang bukan Islam adalah hal biasa. Tetapi memberi kritikan yang salah dan tidak berasaskan fakta adalah salah dan melampau.

Terkini tuduhan dari Akmal Nasir, Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) terhadap Lembaga Pengurusan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyalahgunakan dana Yapeim dan wang anak yatim untuk faedah peribadi dan lawatan ke luar negara.

CEO Yapeim dan Ahli Lembaga Pengarah yayasan itu dalam program di TV1 baru-baru ini memperjelaskan tuduhan itu adalah fitnah. Dengan bantuan media sosial tuduhan yang dibuat terhadap Tabung Haji, Jakim dan Yapeim tersebar luas seolah-olah hukuman dijatuhkan tanpa usul periksa akibat sikap kepembangkangan yang tinggi. Lebih buruk apabila masyarakat terus menerima berita itu bulat-bulat hingga menjatuhkan nama baik institusi tersebut.

Dalam isu Jakim, apa hujah konkrit Mohamad Taufik ingin membubarkan institusi itu  tanpa terlebih dulu mengetahui kedudukan Islam dalam Perlembagaan negara dan peranan jabatan itu menjaga kepentingan Islam dan umatnya serta memelihara martabat Islam di peringkat Pusat dan negeri?

Akmal Nasir sebagai seorang Islam dan ahli politik pembangkang yang memperjuangkan keadilan pula harus berlaku adil terhadap Yapeim dengan melakukan siasatan dan pemeriksaan. Untuk menjadi popular dengan ‘mencuri’ maklumat dan melontarkannya di media sosial suatu perbuatan yang tidak beretika. Sedangkan maksud keadilan yang diperjuangkan harus berasaskan etika dan integriti.

Hari ini Tabung Haji, Jakim, Yapeim dituduh secara melulu. Apakah esok Yadim, IKIM dan IKSIM bakal menjadi mangsa pula? Amat mudah sebahagian masyarakat Islam yang berjiwa pembangkang menerima tohmahan walaupun setiap hari melakukan rukuk dan sujud kepada Yang Maha Esa.

Apakah mereka ini mempunyai muslihat tertentu menjadikan institusi Islam sebagai sasaran? Di tengah-tengah terdapatnya tuduhan kerajaan ‘tolak Islam’ institusi Islam ini dijadikan sasaran supaya orang hilang kepercayaan terhadapnya. Inilah penyakit hasad dengki yang masih belum hilang diwarisi oleh sesetengah pihak yang tidak memiliki pemikiran aras tinggi dan tidak melakukan kaji selidik bagi mendapatkan fakta supaya kebenaran dan keadilan dapat dipertahankan.

UTUSAN

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL