Saya Bukan Ekstremis - Nasharudin

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dikenali sebagai individu yang lantang dan konservatif semasa beliau masih lagi sebahagian daripada kepimpinan parti Islam itu beberapa tahun lalu.

Pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) amat mengejutkan dengan kebanyakan pihak mendakwa beliau bukan ikon kesederhanaan.

Mengakui persepsi ini, Nasharudin berkata tanggapan orang ramai terhadapnya adalah diluar kawalan tetapi menegaskan bahawa kesederhanaan adalah sesuatu yang sentiasa beliau perjuangkan.

Namun, beliau berkata kesederhanaan tidak bermaksud seseorang itu perlu membenarkan prinsip mereka untuk dikompromi.

"Sebagai contoh, anda membiarkan seseorang mencabar keluhuran undang-undang atau kedudukan artikel tertentu dalam Perlembagaan.

"Apabila ini berlaku, ini bermaksud anda berkompromi dengan prinsip anda. Ya, kita bersederhana dalam prinsip kita tetapi GMM perlu ada pergerakan berasaskan prinsip," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, Khamis.

Pada Rabu, Nasharudin dilantik sebagai CEO GMM yang baharu, menggantikan bekas pemimpin Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sepanjang tempoh perkhidmatan bersama PAS, Nasharudin tidak sebulu dengan beberapa pemimpin parti lain apabila beliau mengkritik Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga menjelas perhimpunan Bersih 3 pada 2012 yang mendapat sokongan kuat pembangkang.

Popularitinya di kalangan bukan Melayu merosot tetapi Nasharudin berkata beliau sentiasa bersedia menerima pandangan yang berbeza.

"Saya menerima perbezaan kerana ia perkara biasa untuk bercanggah pendapat. Saya percaya dalam komunikasi terutama dengan pelantikan baharu ini," katanya.

Karier politiknya dalam PAS turut dicemari dengan kontroversi kerana Nasharudin didakwa salah seorang pemimpin PAS yang terlibat mengadakan rundingan dengan Umno apabila spekulasi kerajaan perpaduan bertiup kencang.

Beliau kemudian dipecat daripada Majlis Syura PAS selepas berlepas ke Gaza bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013.

Ketika ditanya sama ada hubungan baiknya dengan Perdana Menteri punca di sebalik pelantikan beliau, Nasharudin berkata beliau tidak menyedarinya.

"Saya tidak tahu mengenainya. Tiada siapa beritahu saya bahawa pelantikan itu kerana saya rapat dengan Najib.

"Saya hanya menerima panggilan daripada (pengerusi GMM) Tan Sri Razali Ismail yang memaklumkan saya mengenai pelantikan itu," katanya.

Beliau menegaskan pelantikan beliau dalam GMM tiada kaitan dengan latar belakang politiknya kerana pergerakan itu memainkan peranan 'melangkaui politik'.

"Jika latar belakang politik saya diambil kira, saya tidak akan dilantik kerana saya masih lagi membawa kad ahli PAS.

"Dalam GMM, kami ingin memberi tumpuan kepada pembinaan negara di peringkat antarabangsa, dan ini adalah sebab saya di sini," katanya.

Nasharudin berkata beliau turut menerima maklum balas positif daripada rakan-rakan dan penyokongnya termasuk ahli PAS.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana