Sakit Hati Dengan Jerebu Usahawan Letak Iklan Sajak Dalam Akhbar...
PETALING JAYA: Tidak tahan dengan keadaan jerebu yang berpanjangan dan melanda negara ini saban tahun, akibat pembakaran secara terbuka di Indonesia telah mendorong seorang usahawan mengiklankan sebuah sajak satu mukasurat penuh di dalam akhbar tempatan untuk meluahkan rasa kecewa dan perasaan sedihnya itu.
Pengasas dan pengarah Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad Din Yusoh menghasilkan sajak berjudul 'Jerebu - Kau Yang Tak Diundang' bagi mewakili suara rakyat Malaysia yang mahu kerajaan Indonesia mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani masalah tersebut.
"Ini adalah sebahagian daripada luahan hati saya bersama rakyat Malaysia kepada pihak yang terlibat dalam isu ini.
"Kita mahu kerajaan dan Presiden Indonesia peka terhadap soal kesihatan rakyat negara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Mohamad Din berkata, idea untuk menghasilkan sajak tersebut tercetus semasa beliau dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka ketika negara dilanda jerebu yang teruk.
"Ketika saya melalui lebuh raya dari KL menuju ke Melaka, jarak penglihatan sangat terhad akibat jerebu yang teruk. Bila tiba sahaja di rumah, saya mandi (malam) dan menunaikan solat, kemudian saya menulis. Pada waktu itu, tiba-tiba idea untuk menghasilkan sajak ini muncul," katanya.
Anak jati Melaka berusia 68 tahun itu berkata, beliau hanya mengambil masa selama satu jam setengah untuk menghasilkan sajak tersebut.
"Saya tiada masalah untuk hasilkan sajak ini. Lagipun saya gemar membaca dan memang aktif dalam bidang penulisan dan sajak sejak sekian lama," katanya.
Walaupun hanya menyiarkan sajak tersebut menerusi sebuah akhabar Bahasa Melayu tempatan, Mohamad Din yakin rintihan suara rakyat Malaysia itu akan sampai ke pengetahuan kerajaan Indonesia juga akhirnya.
"Kita tahu Indonesia turut mempunyai kedutaannya di sini. Jadi saya yakin kakitangan negara itu di sini akan sedia maklum dengan kehadiran sajak ini.
"Mereka akan beli setiap surat khabar dan akan menyimpan keratan akhbar terutamanya isu berkaitan negara mereka. Sudah pasti ia akan sampai ke pengetahuan Presiden Joko Widodo nanti," katanya lagi.
Selain berkecimpung dalam industri pelancongan sejak 36 tahun lalu, Mohamad Din turut aktif menghasilkan artikel berkaitan politik dan isu semasa yang disiarkan di beberapa akhbar arus perdana di negara ini.
Comments