Azmin perlu selesai isu air Selangor atau berundur sebelum terlambat - Khalid

Saya yakin ramai rakyat di Lembah Kelang secara amnya dan Selangor khususnya berasa kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Selangor dan YAB Dato' Menteri Besar yang jelas tiada kewibawaan mahupun komitmen untuk menyelesaikan dengan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan "ancaman" oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), pemegang saham terbesar dalam dua syarikat konsesi air di Selangor yakni Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor untuk membatalkan perjanjian jual beli dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selepas lima kali permohonan oleh Air Selangor untuk melanjutkan tempoh memenuhi syarat perjanjian tersebut. PNHB juga mengancam mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula hutang tertunggak Kerajaan Negeri yang dianggarkan mencecah RM4.97 billion pada 31 Mac 2015.

Tidak mustahil ancaman PNHB ini bertukar menjadi realiti memandangkan "imuniti" yang dinikmati oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), satu lagi syarikat konsesi air untuk terus berdegil menolak tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan kegagalan berlarutan Kerajaan Negeri memuktamadkan Perjanjian Utama yang dimeterai pada 12 September 2014 dengan Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor.

Walaupun DYMM Sultan Selangor sendiri telah berulang kali mengingatkan jemaah pentadbiran negeri untuk memastikan penyusunan semula industri air dimuktamadkan secepat mungkin tanpa bercanggah dengan semangat dan terma Perjanjian Utama, namun titah Tuanku Sultan seolah-olah tidak diendahkan sama sekali.

Sejak hari pertama mengepalai pentadbiran negeri pada hujung bulan September 2014 hinggalah ke hari ini, YAB Dato' Menteri Besar bukan sahaja kelihatan sengaja melengah-lengahkan proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air, malah gagal menggariskan satu pelan tindakan terperinci, lengkap dengan langkah-langkah konkrit untuk menyelesaikan semua isu berkaitan perkhidmatan air. Akibatnya, saya difahamkan bahawa para pegawai yang selama ini bertungkus-lumus dalam usaha menyempurnakan penyusunan semula industri air Selangor kini seolah-olah hilang punca tanpa hala tuju dan garis panduan yang jelas daripada Dato' Menteri Besar.

Sebaliknya, apa yang beliau mampu lakukan hanyalah melemparkan pelbagai kenyataan mengelirukan, dolak-dalih retorik, dakwaan tempang dan tuduhan tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan yang lain terutama Kerajaan Persekutuan. Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau sebenarnya ada udang di sebalik batu.

Rakyat juga sedang menanti pendedahan Dato’ Menteri Besar nama syarikat dan mereka yang didakwa oleh Ketua Umum PKR pada September 2014 bakal mendapat laba bernilai jutaan ringgi hasil Perjanjian Utama ini. Rakyat berhak diberi maklumat lengkap siapa yang bakal mendapat manfaat melampau yang melibatkan dana awam.

Berulang kali telah saya tegaskan bahawa kejayaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor merupakan prasyarat utama demi menjamin:

> bekalan air terawat mencukupi bagi kegunaan isirumah, komersil dan industri

> perkhidmatan air efisien, bebas gangguan serta pada tarif munasabah dan tidak membebankan rakyat

> berakhirnya perjanjian konsesi berat sebelah yang nyata hanya memberi keuntungan berlipat ganda kepada pemegang konsesi

> pemulangan semua aset dan hal-ehwal berkaitan air kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk kuasa dan kawalan mutlak serta rakyat dalam bentuk saham

Berbanding dengan pentadbiran negeri terdahulu yang beriltizam tinggi dan gigih berusaha menjayakan penyusunan semula industri air dan menyelesaikan segala permasalahan berkaitan air dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Dato' Menteri Besar sekarang nampaknya terlalu fokus dengan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang baru sahaja ditubuhkan hasil pengubahsuaian Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI). Malah, saya dimaklumkan bahawa DEIG sekarang sedang giat mengadakan perbincangan dengan pelbagai syarikat pemaju hartanah swasta untuk menjayakan lima projek perumahan yang keseluruhannya bernilai RM10 billion.

Setelah berulang kali saya menegaskan tiada kompromi dalam proses memuktamadkan penstrukturan semula industri Selangor demi kemaslahatan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka bakal mengalami masalah bekalan air kritikal sekiranya Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) gagal disiapkan menjelang 2017, saya yakin Kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 khususnya Seksyen 114 sekiranya usaha ini menemui jalan buntu.

Sekiranya Dato' Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi dan mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan semula industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam Dewan Negeri Selangor sebelum ini. Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur sekarang supaya Dewan Negeri Selangor dapat mencari seorang pengganti yang benar-benar layak, berkemampuan dan berkebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab berat ini.

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM

ADUN PELABUHAN KLANG

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana