Kita tengok siapa kena tendang dari Pakatan

SIAPAKAH di antara PAS atau DAP yang akan keluar daripada Pakatan Rakyat?

Persoalan ini menarik minat ramai pihak khususnya pemerhati politik mengenai sejauh mana darjah ketegangan antara PAS dan DAP ketika ini mampu memutuskan ‘persahabatan dan kerjasama’ yang terjalin selama ini.

Jika dilihat pada sejarah, PAS dan DAP pernah bekerjasama menerusi Barisan Alternatif (BA) pada 1999 yang turut dianggotai Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum KeADILan dan PRM bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2003.

Bagaimanapun, DAP, yang tidak bersetuju dengan dasar PAS memperjuangkan penubuhan negara Islam, keluar daripada BA pada 2001.

Cuaca panas dan kering yang melanda negara turut menaikkan ‘suhu panas’ dalam pakatan pada masa apabila pimpinan kedua-dua parti saling mendesak dan mencabar satu sama lain untuk keluar daripada ‘Pakatan Rakyat’, gabungan longgar yang dibentuk selepas pilihan raya umum 2008, setelah PAS yang mentadbir kerajaan Kelantan bertegas mahu melaksanakan hukum hudud.

TUNGGU DAN LIHAT

Mungkinkah sejarah 14 tahun lepas yang menyaksikan DAP keluar daripada BA akan berulang?

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berpandangan biarpun ‘ketegangan’ kedua-dua parti itu semakin memuncak ketika ini, ia tidak akan menyebabkan PAS atau DAP keluar daripada pakatan pembangkang.

Katanya kedua-dua parti itu dilihat lebih selesa bersikap tunggu dan melihat sama ada ‘Pakatan Rakyat’ akan menyingkirkan mereka, daripada mengambil keputusan keluar daripada pakatan.

“Sekarang masing-masing berasa sudah cukup kuat dengan sokongan yang diterima dan kalau keluar Pakatan Rakyat, mereka akan berasa seolah-olah mengkhianati anggota parti dan rakyat yang mengundi mereka. Lebih baik mereka tunggu sehingga dipecat daripada pakatan dan itu lebih ‘gentleman’.

“PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat kecuali disingkirkan. Begitu juga dengan DAP. Masing-masing ada ego dan kita akan lihat lebih banyak konflik berlaku antara kedua-dua parti ini selagi mereka meneruskan kerjasama politik,” katanya.

Beberapa pemimpin baik daripada PAS mahu pun DAP saling memberi kata dua kepada rakan sekutu mereka agar keluar daripada pakatan pembangkang kerana isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Pada Ahad, Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa PAS bukan lagi menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang, jika parti itu membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II ke sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan 18 Mac ini.

Kenyataan Gobind segera ditempelak dua pemimpin PAS iaitu Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Nasrudin Hassan yang senada menyarankan DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak bersetuju dengan perjuangan parti itu.

PAS, DAP TANPA ANWAR

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata PAS dan DAP tanpa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara kerana sabitan kes liwatnya dilihat kehilangan nakhoda dan semakin lemah.

Semalam, anggota keluarga Anwar menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar. Pada 10 Feb, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Katanya tanpa Anwar maka tiadalah pakatan pembangkang. Ketua Umum PKR itu dilihat sebagai individu yang bertanggungjawab menyatukan PAS dan DAP di bawah satu bumbung pakatan.

“Tiada isu untuk bercakap tentang masa depan Pakatan Rakyat kerana mereka semakin lemah,” katanya.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata isu parti mana yang akan keluar pakatan boleh dilihat daripada dua perspektif.

Pertamanya ialah terus kekal dalam pakatan kerana mempunyai matlamat yang sama iaitu menawan Putrajaya dan hal kedua berhubung soal solidariti ketiga-tiga parti itu terhadap kerjasama politik.

Beliau menjelaskan dalam perspektif pertama, walaupun PAS dikecam teruk oleh DAP, ia sedikit pun tidak mengubah pendirian parti Islam itu untuk keluar daripada pakatan pembangkang memandangkan ‘titik persamaan’ antara ketiga-tiga parti itu ialah menawan Putrajaya.

“Jadi apabila tiba pilihan raya, konflik yang berlaku akan menjadi senyap bagi memberi tumpuan kepada usaha menawan Putrajaya. Kecaman DAP kepada PAS juga saya lihat mempunyai strategi politik untuk menyakinkan anggota dan pengundi mereka bahawa parti itu tidak bersekongkol dengan perjuangan PAS.

“Perspektif kedua berkaitan soal solidariti ketiga-tiga parti itu kepada Pakatan Rakyat selepas Anwar dipenjara. Tidak dinafikan bahawa episod itu (Anwar dipenjarakan) memberi kesan kepada keutuhan pakatan dan ia dapat dilihat dalam konteks momentum sokongan pakatan itu pada pilihan raya… pada masa sekarang sukar untuk dikatakan,” katanya.

Che Hamdan turut berpandangan bahawa cengkaman Anwar di dalam parti pakatan semakin rapuh selepas gagal ‘mengikat’ DAP dan PAS untuk bersetuju dalam krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu.

DUA PILIHAN DAN KRISIS KEYAKINAN

Apakah pilihan yang ada untuk DAP dan PAS menyelesaikan polemik yang berlaku?

Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata terdapat dua pilihan baik di pihak PAS mahupun DAP iaitu membubarkan pakatan pembangkang atau memeterai perjanjian baharu antara ketiga-tiga parti untuk bersetujui dengan apa yang disebut dasar bersama.

“Saya melihat dalam konflik PAS dan DAP, kalangan ulama PAS sendiri juga tidak yakin bahawa DAP akan menyokong perjuangan parti itu sekalipun dapat memerintah negara. Jadi apa gunanya jika duduk dalam Pakatan Rakyat tetapi terpaksa menggadaikan prinsip perjuangan,” katanya.

Beliau tidak menolak akan wujud krisis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti pakatan pembangkang selepas asyik disajikan dengan polemik tidak berhujung.

“Dengan apa yang berlaku, rakyat akan melihat Pakatan Rakyat bukan lagi parti alternatif terbaik untuk menggantikan BN (Barisan Nasional) dan ini sekaligus mematikan cita-cita pakatan pembangkang untuk membentuk sistem dual parti di dalam negara ini,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM pula berpendapat bahawa PAS mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama di dalam pakatan pembangkang selepas ketiadaan Anwar.

“Ini kerana, PAS mempunyai ramai anggota dan jentera yang besar berbanding DAP dan PKR. DAP dan PKR amat mengharapkan PAS untuk membantu mereka sama ada daripada segi kempen pilihan raya mahupun demonstrasi,” katanya. – Bernama

Comments

Popular posts from this blog

'Saya Tak Boleh Hidup di Malaysia Jika Hudud Dilaksanakan' - Marina Mahathir

Wajib Baca....8 perkara Lee Kuan Yew akan lakukan jika memerintah Malaysia