Akta Hasutan: Najib tak berjanji, sebaliknya kata mahu mengkaji
KUALA LUMPUR: Reaksi pihak pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri 'mungkir janji' berhubung pengekalan Akta Hasutan 1948 diibaratkan seperti 'cacing kepanasan', kata Perwakilan Kedah, Haji Mohd Kamal Saidin.
Beliau berkata, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada waktu itu tidak pernah berjanji untuk memansuhkan akta zaman British itu, sebaliknya hanya berkata mahu mengkaji akta tersebut.
"Bagi yang yang tak setuju maka mereka buat berbagai tohmahan fitnah.. semalam saya baca surat khabar, pihak pembangkang telah membangkitkan nahawa Preiden kita kononnya tak menepati janji tentang Akta Hasutan.
"Bukan beliau berjanji nak hapuskan, beliau kata nak dikaji, nak diteliti.. tapi dengan syarat. Ini kena jawab bila balik ke kawasan.. Presiden tak pernah berjanji tapi sebaliknya minta syarat...kalau mereka beri sokongan dan keyakinan, kalau umno terus menerajui maka kita akan mengkaji," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Najib gagal mengotakan janji yang telah dibuat pada 2012 yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Najib pada 2012 pernah berkata Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan, dan digantikan dengan akta baru, yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Beliau bagaimanapun akhirnya menamatkan teka-teki berkenaan apabila mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 sewaktu menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2014, dua hari lalu.
Mengulas lanjut kata beliau, pihak pembangkang adalah pihak yang memungkiri janji.
"Kalau nak diagih tentang janji, siapa yang memungkir janji? Merekalah yang mungkir janji.. mereka siapa? Kaum cauvinis.. pelampau perkauman, ekstremis yang anti Islam, pembangkang Melayu yang bersekongkol dengan pengkhianat negara.
"Tapi kena berbalik apa akan jadi jika Akta Hasutan ini kalau dikekalkan dan ditambah baik, kalau kita dapat tangani bersama saya yakin baahwa negara kita dapat dikekalkan kestabilan dan keamanan," katanya.
Comments