Penyiasat MH17 terpaksa berpatah balik

Akibat pertempuran yang berlaku antara tentera Ukraine dengan pemberontak pro-Rusia, usaha sekumpulan penyiasat forensik dari Australia dan Belanda ke lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Grabovo terbantut, apabila kumpulan itu terpaksa berpatah balik.

Pertempuran yang berlaku hanya satu kilometer dari lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh itu, meragut 13 nyawa, termasuk dua kanak-kanak, lapor AFP.

Menurut Timbalan Pengarah Pengawasan Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE), Alexander Hug, kumpulan penyiasat forensik itu terpaksa membatalkan rancangan mereka bagi mengelakkan sebarang risiko, disebabkan pertempuran yang berterusan.

“Keadaan di lokasi kemalangan dan kawasan berhampiran berbahaya kepada kumpulan penyiasat forensik kami,” katanya.Jurucakap Kementerian Kehakiman Belanda, Sentina van der Meer, pula menjelaskan bunyi letupan turut didengari di lokasi kejadian, malah kumpulan forensik itu turut diberi amaran oleh penduduk setempat.

“Keadaan di sana tidak selamat untuk membolehkan mereka menjalankan penyiasatan, ekoran pertempuran yang berlaku,” jelasnya.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, turut membatalkan penghantaran pegawai tentera ke lokasi kemalangan bagi menyiasat tragedi MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.
“Khidmat pegawai atasan tentera untuk misi antarabangsa di lokasi itu tidak realistik, berikutan jumlah pemberontak pro-Rusia yang ramai di sana serta kedudukan lokasi yang hampir dengan sempadan Rusia.
“Kami serta rakan antarabangsa memutuskan, penggunaan khidmat tentera antarabangsa dalam misi ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka terbabit dalam konflik di Ukraine,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana