Rakyat China Diminta Tidak Keruhkan Hubungan 40 Tahun Malaysia-China

KOTA BAHARU, 29 Mac  – Rakyat China diminta menilai hasil hubungan diplomatik Malaysia dan negara itu yang terjalin sejak 40 tahun lalu dan tidak mengeruhkannya semata-mata kerana spekulasi yang tidak berasas berkaitan tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana banyak daripada perasaan tidak puashati oleh  rakyat di China terhadap Malaysia datang daripada teori dan spekulasi yang tidak berasas berhubung tragedi yang menimpa pesawat berkenaan.

“Kita berharap rakyat China melihat hubungan dengan kita (Malaysia) secara keseluruhan, bukan hanya melihat spekulasi yang tidak berasas (berkaitan tragedi yang menimpa pesawat berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Satelit Institut Sukan Negara Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini, hari ini.

Khairy berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan rakyat China membatalkan banyak pakej pelancongan ke  Malaysia berikutan tragedi yang menimpa penerbangan MH370 itu.Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa  Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Isnin bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di  kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pada tahun ini genap 40 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China, dan Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf negara itu dengan mengadakan hubungan dua hala pada 1974.

“Bila timbul isu berkaitan Laut China Selatan yang banyak meredakan keadaan adalah Malaysia, kita tidak ambil sikap  konfrantasi terhadap China seperti negara lain, kita berdiplomasi dengan China, kita banyak menerima pelaburan dari negara ini dan  kita banyak melabur di China,” katanya sambil menyifatkan Malaysia sebagai sahabat rapat kepada China.

 Beliau berkata tuduhan bahawa Malaysia menyembunyikan maklumat berkaitan tragedi pesawat tersebut adalah tidak  benar dan maklumat yang diberikan adalah setelah ia disahkan.“Saya lihat kenyataan sesetengah keluarga itu mengatakan bahawa ada perkara yang disembunyikan oleh kerajaan  Malaysia, ada perkara yang tidak dimaklumkan oleh kerajaan Malaysia sampai digelar sebagai pembunuh.

“Saya hendak ingatkan kepada keluarga, bukan rakyat China sahaja berada dalam pesawat MH370, rakyat Malaysia juga ada, kenapa kita hendak sembunyikan fakta, maklumat daripada keluarga mangsa, tidak ada sebab kita hendak sembunyi maklumat, sejak hari pertama kita  beri maklumat tepat, kita hanya beri maklumat yang telah disahkan,” katanya.

 Khairy berkata beliau difahamkan ribuan pakej pelancongan telah dibatalkan oleh pelancong negara China yang akan memberi kesan  yang serius kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 kerana China adalah pasaran terbesar Malaysia di Asia dari segi pelancongan.

Beliau percaya kerajaan sedang melihat perkara itu secara serius dan mengambil langkah-langkah berkesan bagi  mengelakkan ia merebak ke sektor lain yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana