Hishamuddin Ikrar Teruskan Pencarian MH370

PETALING JAYA: Usaha mencari semua penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines MH370 yang hilang akan diteruskan, ikrar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Jika ia mengambil masa dua tahun, jika ia mengambil masa 20 tahun, saya memberikan jaminan kepada keluarga-keluarga mereka di China bahawa saya akan melakukannya," Menteri Pertahanan itu memberitahu koresponden 'CCTV America', James Chau dalam satu wawancara.

Hishammuddin turut berkongsi bahawa 'keikhlasan mereka yang datang dan mahu membantu' memberinya kekuatan untuk terus tabah.

Ditanya jika beliau boleh memberi jaminan kepada semua keluarga yang melibatkan lebih dari 10 negara, beliau berkata mereka semua telah diberitahu apa yang beliau sendiri tahu serta telus dalam memberikan maklumat.

"Saya beri jaminan kepada semua bahawa apa sahaja yang saya tahu, yang disokong dengan bukti dan yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri saya sejak awal lagi bahawa kita akan telus seboleh yang mungkin," katanya.

Walau bagaimanapun, ketelusan ini bergantung kepada maklumat sokongan dan pendedahan yang tidak akan menjejaskan siasatan.

"Malah, kami juga boleh mengatakan bahawa kita telah mengenepikan kepentingan keselamatan negara dengan berkongsi maklumat, data ketenteraan," katanya.

Ditanya jika terdapat sebarang rahsia atau perkara yang ditutup oleh negara, Hishammuddin menjawab 'pasti tidak'.

"Bagaimana mungkin ia disembunyikan apabila ia melibatkan nyawa dan kehidupan? Terutamanya yang melibatkan nyawa yang tidak kita temuinya lagi," soal beliau.

Hishammuddin juga berkata adalah tidak bertanggungjawab untuk beliau "mengesahkan apa sahaja spekulasi " tanpa fakta dan bukti sokongan.

Berdasarkan perkembangan baru, James bertanya jika sesiapa dapat dikaitkan dengan jelas mengenai kehilangan pesawat itu.

"Siapa yang mempunyai kemahiran dan tahu bagaimana untuk mematikan transponder, bagaimana untuk membuatkan pesawat ini mampu tidak dikesan dunia luar dan kemudian dapat melarikan diri daripada pengesanan di seluruh negara yang berbeza untuk tidak dikesan oleh radar?," tanya James.

Walaupun Hishammuddin mahu tahu siapa yang bertanggungjawab melakukannya, beliau menganggap adalah tidak bertanggungjawab untuk menyatakan sebarang nama sehingga semua fakta diperolehi.

"Apa-apa yang didedahkan sekarang, yang tidak disokong dengan bukti, akan menjejaskan siasatan. Ini adalah untuk berlaku adil kepada keluarga," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana