BR1M AKAN DI BERI 2 KALI SETAHUN MULAI TAHUN HADAPAN.

Kerajaan bercadang melaksanakan agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali pada tahun depan kata
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata selain itu kaedah penyaluran BR1M juga mungkin dibuat
melalui transaksi kepada akaun bank penerima.

Sungguhpun begitu, beliau berkata nilai BR1M hanya akan diumumkan pada
pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak, 25 Okt ini.

“Kita telah menyediakan draf pertama yang telah dibentangkan kepada perdana menteri, jadi sekarang kita sedang memperkukuhkan lagi pemberian BR1M.

“Nilai sebenar masih belum dipastikan lagi, tetapi ia lebih daripada RM500
yang diberi sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah
Agama Rakyat Ehsaniah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi hari ini.

Katanya kaedah agihan BR1M sebanyak dua kali ini membolehkan penerima
menggunakannya secara berhemat berbanding pemberian sekaligus.

Ahmad Husni berkata apabila dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan,
kerajaan juga sedang meneliti model bantuan terbaik bagi membantu golongan yang
mempunyai pendapatan keluarga RM4,000 sehingga RM5,000.

“Kerajaan juga melihat bagaimana mahu membantu golongan ini. Ia lebih kepada
konteks apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, kita juga
menyatakan kerajaan akan terus membantu, tetapi kita bantu mereka ini dalam
bentuk yang lain, yang ini perinciannya saya tidak boleh beritahu, kita tunggu
pembentangan belanjawan nanti,” katanya.

Agihan BR1M 1.0 kepada golongan yang layak mula dilaksanakan oleh kerajaan
pada 2012.

Bagi BR1M 2.0 yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Najib
di Parlimen pada 28 Sept 2012, bantuan tunai RM500 diberi kepada rakyat Malaysia
dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan sementara individu
bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak
menerima bantuan RM250.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Wajib Baca....8 perkara Lee Kuan Yew akan lakukan jika memerintah Malaysia