Jangan salahkan polis kes tembak tinggi

PUTRAJAYA - Polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.

"Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini hari ini, sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.

Semalam Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain dua kes berprofil tinggi itu, satu lagi kes tembak dilaporkan semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebabkan seorang cedera dan pada Ahad malam pula seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh.

Sambil mengakui bahawa antara faktor peningkatan kadar jenayah berpunca daripada pembebasan tahanan di Simpang Renggam, Ahmad Zahid berkata kementerian menerusi pelbagai agensinya akan mempertingkat kawalan keselamatan di sempadan negara yang menjadi lokasi untuk menyeludup senjata.

Kementerian juga akan mempertimbangkan pembelian peralatan baru untuk anggota polis dan menambah lebih banyak litar kamera tertutup (CCTV) bagi membanteras kejadian jenayah pada masa depan, katanya.

Mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk mengekang fahaman itu. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana