Malaysia perlu ambil iktibar tindakan Singapura

Malaysia perlu mengambil iktibar inisiatif kerajaan Singapura yang akan mengenakan lesen terhadap semua laman web berita negara itu bagi mengelakkan berlaku 'gangguan' keharmonian kaum dan agama, kata Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwandin Hamzah.

Menyifatkan tindakan itu sebagai langkah terbaik menjaga sensitiviti semua kaum, beliau berkata pemberian lesen itu akan memudahkan kerajaan untuk memantau berita yang disebarkan seterusnya mengambil tindakan terhadap mana-mana artikel yang berbaur hasutan.

"Sesiapa sahaja termasuk agensi yang mahu menulis berita boleh berbuat demikian namun perlu memohon lesen dan kerajaan pula tidak perlu tegas semasa mengeluarkan lesen agar ia tidak menyekat kebebasan bersuara.

"Ia pastinya tidak akan menyekat kebebasan bersuara kerana lesen dikeluarkan secara mudah sebagai hak mereka maka kerajaan pula ada hak untuk menegur jika berlaku ketidaksesuaian dalam mana-mana penghasilan berita," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Azwandin berkata dalam hal itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu memainkan peranan yang lebih efektif dengan mengesan mana-mana 'IP address' antarabangsa yang diguna untuk menyebarkan sebarang artikel berbaur hasutan terhadap rakyat di negara ini.

Mulai 1 Jun, laman web yang mempunyai 50,000 pelawat dari Singapura setiap bulan dan menghasilkan sekurang-kurangnya satu artikel tempatan seminggu mesti memperoleh lesen tahunan daripada Lembaga Pembangunan Media (MDA) negara itu.

Sebuah agensi berita antarabangsa memetik kenyataan MDA menghendaki laman web yang diberi lesen itu mengeluarkan bahan-bahan larangan seperti artikel yang boleh menjejaskan keharmonian agama dan kaum daripada laman web dalam tempoh 24 jam setelah dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

Laman web yang dilesenkan itu perlu menyediakan S$50,000 sebagai jaminan bon.

Azwandin berkata apabila semua laman web berita dilesenkan pastinya sekatan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu kesejahteraan rakyat di negara ini dapat ditangani dengan segera.

Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata langkah yang diambil negara jiran itu mungkin membawa kebaikan bagi negara itu namun di Malaysia, ia dilihat hanya boleh mengawal sebahagian daripada kebebasan berinternet.

"Jika kerajaan kita mahu mengambil pendekatan yang sama, saya khuatir ia mungkin akan memberikan impak besar kepada sesetengah pihak berikutan lesen yang dikeluarkan itu agak mahal.

"Maka pastinya akan muncul pula 'pihak tertentu' yang cuba mengetengahkan kaedah lain untuk mengelakkan berlakunya jenayah siber atau provokasi menerusi laman-laman web berita atau blog," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, daripada mengikut 'cara' orang lain adalah lebih baik jika Malaysia mencari kaedah yang lebih proaktif tetapi untuk memastikan kandungan berita yang disebar tidak mengganggu keharmonian sejagat.

Prof Dr Ahmad Tarmizi Talib dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berkata langkah Singapura itu hanya boleh dilaksanakan Malaysia sekiranya pakar teknologi maklumat menemui satu kaedah terbaik menghalang penyebaran berita sedemikian di laman sosial, tanpa hanya perlu bergantung kepada penguatkuasaan melalui kaedah perlesenan.

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia itu berkata sememangnya kaedah perlesenan mampu mengawal pelanggaran dalam penerbitan berita, namun persoalan yang harus difikirkan apakah tindakan menarik lesen atau mengenakan denda mampu 'menggerunkan' pihak berkenaan daripada menerbitkan berita yang berunsur negatif.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana