Islam tuntut perpaduan, bukan perpecahan

Pada asasnya, perpaduan yang dianjurkan oleh Islam merujuk kepada dua dimensi iaitu melalui ikatan di kalangan umat Islam dan ikatan sesama anggota masyarakat lain yang bukan Islam.

Perpaduan yang dianjurkan perlu memenuhi kriteria kerukunan muafakat yang baik, selain kesatuan insaniah yang dapat dizahirkan melalui ikatan jiwa dan kerohanian.
Perpaduan secara rasionalnya adalah positif, manakala perpecahan adalah negatif. Islam menuntut agar perpaduan dan keamanan dipulihara dan diwariskan selama-lamanya. Perpecahan akibat perbezaan dan pergeseran fahaman keagamaan dan politik adalah faktor melemahkan umat Islam dan membuka ruang kepada musuh merobek agama itu sendiri.

Kemenangan dan kenikmatan hidup hanya mampu dizahirkan apabila terciptanya perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan umat Islam itu sendiri seiring firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Ali-Imran: 103)

Musibah perlu ditangani 

Justeru, perlu kita fahami bahawa perpecahan yang melanda umat Islam kini bukanlah nikmat tetapi musibah yang perlu ditangani segera.
Dalam membincangkan perkara ini, penulis cenderung untuk memperkatakannya dari sudut sirah seperti dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Masyarakat Madinah yang dibentuk selepas peristiwa hijrah diakui dunia sebagai masyarakat ideal yang bersatu padu, par excellence, harmoni dan sejahtera. Islam menzahirkan perpaduan umat melalui kehidupan beragama, bermasyarakat, beretika dan bernegara.

Penggubalan Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) dengan 47 fasal menjadi pemangkin utama kepada penduduk Madinah ketika itu. Ia lebih membanggakan apabila sebahagian besar tokoh sejarah mengakui penggubalan sahifah itu adalah yang terawal, lengkap dan terbaik dalam tamadun manusia dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian bagi sesebuah negara.

Masjid pusat penyatuan ummah 

Seterusnya, perpaduan itu diperkukuhkan melalui pembinaan masjid yang berperanan besar sebagai institusi sosial yang dinamik. Dalam sirah, tercatat bahawa Masjid Nabawi dan Masjid Quba’ memainkan peranan besar menyatupadukan rakyat jelata melalui ibadat solat secara berjemaah selain sebagai pusat pentadbiran negara Islam Madinah ketika itu.

Perpaduan umat Islam juga digerakkan oleh Rasulullah SAW melalui tindakan proaktif mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj, selain menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin di Madinah. Persengketaan Aus dan Khazraj yang sekian lama itu berjaya diruntuhkan oleh Baginda SAW melalui persaudaraan, manakala rasa terasing orang Muhajirin dapat dipadamkan melalui persaudaraan dengan orang Ansar, sekali gus memudahkan Rasulullah SAW mewujudkan suasana aman dan sejahtera di Madinah.

Umat yang menjiwai erti makna kesatuan atau perpaduan ialah umat yang sentiasa terbuka minda, berlapang dada serta saling menghormati antara satu sama lain. Umat yang memahami harga sesebuah perpaduan yang tiada ternilai harganya pasti tidak akan membuat desakan yang boleh menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh meranapkan kesatuan ummah.

Kesejahteraan ummah mahupun negara menuntut keikhlasan dan istiqamah semua pihak bagi memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman antara sesebuah komuniti terus terpelihara. Hanya melalui roh dan semangat inilah, masyarakat di Malaysia khususnya umat Islam mampu terus hidup dalam suasana yang tenteram, sejahtera dan harmoni.

Inilah yang dituntut oleh syarak kerana Islam yang kita anuti dan amalkan berperanan besar memandu kita ke jalan yang sebenar. Usahlah kita terpengaruh dan mengikut hawa nafsu yang boleh menjerumuskan ke lembah kedukaan dan kehancuran sesebuah negara jika perpaduan yang digariskan dibiarkan sepi.

Penulis ialah Dekan, Akademi Pengajian Islam, KUIM

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL