USAHA TERDESAK ANWAR SETELAH DITOLAK MAJLIS SYURA PAS


Berita mengenai keputusan Majlis Syura Ulama PAS menolak dan tidak menerima Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya bukan menjadi satu rahsia lagi. Saya diberi maklum bahawa keputusan itu juga telah di endos oleh Dewan Harian dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat meskipun tidak begitu disenangi oleh kumpulan Anwarinas dan pimpinan parasit yang berada dalam saf kepimpinan parti itu. Keputusan Majlis Syura itu juga dikatakan telah disampaikan ke pengetahuan Anwar Ibrahim sendiri oleh wakil Majlis Syura Ulama PAS.

Sehari dua ini kita digemparkan pula dengan cerita surat Syeikh Yusuf Qardawi memberi sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Surat itu juga kononnya memberikan indikasi mengapa pengundi-pengundi Melayu Islam khasnya yang keluar mengundi pada 5hb Mei nanti semestinya mengundi Pakatan Rakyat. Ulama Qatar itu juga dikatakan cuba membersihkan parti-parti komponen Pakatan Rakyat termasuk DAP dan seolah-olah menyeru pengundi supaya tanpa syak wasangka memberi undi kepada DAP, PAS dan PKR.

Pengeluaran dan penyebaran surat tersebut yang belum dapat disahihkan keasliannya telah dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz sendiri di Shah Alam dua hari lepas. Usaha ini dilihat sebagai satu langkah terdesak Anwar Ibrahim untuk membentuk persepsi masyarakat khasnya para pengundi terhadap kedudukannya sebagai calon Perdana Menteri Malaysia. Umum mengetahui Majlis Syura Ulama PAS telah sebulat suara membuat keputusan untuk tidak menerima Anwar Ibrahim menduduki jawatan Ketua Eksekutif Negara atas sebab Anwar Ibrahim mempunyai beban daripada berbagai arah yang sukar bagi PAS terutamanya untuk sama-sama memikul beban tersebut.

Beban yang paling berat yang ditanggung oleh Anwar Ibrahim sejak dari tahun 1998 ialah beban moral dan akhlak yang kesan negatifnya berada diparas yang tertinggi. Catitan Kertas Penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang melihatkan beberapa kes liwat telah sebulat suara mengesahkan sesungguhnya telah berlaku perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa-mangsa liwat Anwar Ibrahim. Pengeluaran video-video sebagai bahan bukti yang menunjukkan aksi Anwar Ibrahim melakukan hubungan sumbang dengan beberapa wanita dan lelaki juga sukar untuk ditepis begitu sahaja.

Selain daripada itu Anwar Ibrahim tidak mempunyai keupayaan untuk memikul beban yang setengahnya telah disabitkan seperti rasuah yang mengakibatkan beliau terpaksa merengkok 6 tahun dipenjara Sungai Buloh.

Hubungan intim beliau dengan pemuka-pemuka besar Yahudi di Amerika dan lain-lain tempat di dunia sehingga mencetuskan ruang dan peluang untuk Yahudi mempengaruhi sistem kenegaraan kita seperti meminta pihak yang berkuasa tidak meneruskan pendakwaan kes liwat beliau di mahkamah.

Majlis Syura PAS juga sudah semestinya mengambil kira pandangan Anwar Ibrahim terhadap Negara Islam, gerakan Kristianisasi dan usaha memurtadkan umat Islam dinegara ini. Kes Lina Joy misalnya menjelaskan bagaimana Anwar secara terang-terangan menyebelahi pihak Lina Joy untuk mendapatkan pengesahan mahkamah tentang status pegangan agamanya.

Anwar Ibrahim melalui kenyataan-kenyataan terbuka dibeberapa forum termasuk diperingkat antarabangsa tanpa berselindung mempromosi fahaman Pluralisme Agama dan Islam Liberal. Fahaman-fahaman ini dikaitkan juga dengan gerakan melegalisasikan LBGT seperti yang dituntut oleh pejuang-pejuang Hak Asasi Manusia yang kini sudah mula bertapak dan menjalar di negara ini.

Bagi kebanyakan pengkaji masyarakat dan pengulas politik, perkara-perkara pokok yang dinukilkan di atas dengan sendirinya tegak berdiri kukuh untuk dijadikan alasan termasuk oleh Majlis Syura PAS bagi menolak Anwar Ibrahim menerajui Malaysia dengan menduduki kerusi Perdana Menteri. Keserasian pandagan Anwar Ibrahim dengan pimpinan tertinggi DAP dalam hal-hal yang berkaitan dengan menentukan asas-asas kenegaraan seperti mengambil fahaman negara sekular dan liberalisme barat menambah kerungsingan dikalangan ulama-ulama PAS disebabkan fahaman-fahaman tersebut tidak mempunyai titik pertemuan dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Ramai pihak yang sejak dari awal bila mendapati wujudnya riak-riak bahawa Yusuf Qardawi akan mengeluarkan sepucuk surat untuk menjamin secara "blanket" kewibawaan Awar Ibrahim dan tanpa syak dan ragu-ragu Anwarlah orang yang paling layak untuk dimahsyurkan sebagai Perdana Menteri.

Keputusan Majlis Syura PAS sesungguhya telah benar-benar menghantui Anwar Ibrahim. Keputusan para ulama PAS itu dilihat telah mencabar kebolehan dan kemampuan beliau yang sejak awal lagi sewaktu bersama dengan Tun Mahathir mengurus negara ini dikatakan telah berusaha kuat menggunakan segala ruang dan peluang yang digarap dengan sebaik-baiknya dengan matlamat untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Keputusan Majlis Syura PAS itu menjadikan Anwar hilang pertimbangan dan berusaha mencari satu kaedah yang boleh menjadikan pimpinan PAS terutamanya termasuk dikalangan pimpinan Pakatan supaya berdiri teguh dibelakangnya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

Opsyen yang ada bagi Anwar Ibrahim ialah buat kesekian kalinya cuba menggunakan pengaruh yang ada pada tokoh agamawan luar negara Syeikh Yusuf Qardawi. Dilaporkan Anwar telah menggunakan pemikir-pemikir Islam melalui lingkungan luar negaranya untuk bertemu dengan Syeikh Yusuf Qardawi lantas memberi gambaran dan bacaan politik mereka dan mengambil satu kesimpulan supaya Anwar Ibrahim "dibersihkan".

Cara dan kaedah yang digunakan oleh sahabat-sahabat Anwar Ibrahim diluar negara jika ditinjau dari sudut apapun terutamanya dari sudut ilmiah, syarak dan amalan pengkaji sosial sudah tentu kaedah yang diguna pakai itu menyalahi prinsip-prinsip asas yang biasa digunakan sebelum membolehkan sesuatu rumusan dan kesimpulan dibuat. Apalagi kalau langkah-langkah itu melibatkan penilaian buruk baik, positif negatif atau merumus sesuatu itu patut diterima atau ditolak.

Pendekatan duduk dikerusi empuk dan berada ribuan kilometer jarak fizikal ditambah pula oleh rencamnya angkubah-angkubah yang terlibat dan parameter yang digunakan sudah tentu tidak dapat menghasilkan suatu rumusan yang boleh dipertanggungjawabkan. Rumusan seperti ini sudah tentu membuka ruang untuk dipersoalkan dan biasanya cara sedemikian menjadi "counter productive" terhadap apa yang diharapkan.

Apa yang telah dilakukan sehingga munculnya surat yang kononnya membuat pengisytiharan terbuka mengiktiraf Anwar Ibrahim sebagai manusia yang paling layak untuk menerajui Malaysia sangat sukar diterima. Mana mungkin seorang yang berada lebih 10 ribu kilometer dan tidak pernah bergelumang dalam kancah kehidupan masyarakat di Malaysia apalagi dalam arena politik yang begitu "heterogeneous" (berbagai-bagai) dan beban berat yang tidak tertanggung oleh Anwar Ibrahim dapat membuat sesuatu rumusan bagi pihak 27 juta rakyat Malaysia.

Bayangkan seorang pemikir Malaysia mengeluarkan surat yang sama mengendorskan seorang pemimpin di Nepal misalnya dengan cara-cara yang digunakan oleh pemikir Islam itu. Apakah mungkin rakyat Nepal dapat menerima dan mengakui kesahihan endorsmen itu? Barangkali masyarakat Nepal tidak semajmuk masyarakat Malaysia, masyarakat Nepal juga tidak mempunyai tokoh seperti Anwar Ibrahim yang mempunyi beban yang ditanggung dan sebahagian daripada beban itu masuk dalam kategori sangat mengaibkan.

Tinjauan rambang yang dibuat rata-ratanya melihat bahawa keputusan Majlis Syura Ulama PAS jauh lebih "credible" kerana keputusan itu berpijak dibumi nyata. Keputusan Majlis Syura kebiasaannya berpegang kepada beberapa kaedah usul fiqh yang setiap satu kaedah itu mempunyai sandaran-sandaran dan asas yang kukuh.

Di satu sudut saya sangat-sangat menghormati kedalaman dan ketinggian ilmu Syeikh Yusuf Qardawi dan kebolehan beliau meneroka kehidupan moden mengguna teropong syarak tetapi saya juga harus bersikap objektif. Apalagi metodologi yang diguna untuk mengeluarkan satu rumusan yang begitu penting kepada masa depan negara membuatkan saya terpanggil untuk melayangkan pendapat dalam ruangan ini.

Bagi saya kaedah usul fiqh yang sudah tentu digunakan tidak siapapun yang mempersoalkan. Tetapi meletakkan atau meng"superimpose"kan kaedah-kaedah tersebut kepada realiti sosio politik yang begitu kompleks di negara ini menyebabkan ramai pengkaji termasuk saya mempunyai tanda soal yang besar dikepala masing-masing. Bagi saya Ahli Majlis Syura Ulama PAS lebih kenal Anwar Ibrahim. Sebahagiannya telah sama-sama menghabiskan zaman remajanya, masa dewasanya dan sebahagian usia emas mereka, maka secara logiknya sudah tentulah pandangan dan pendapat mereka serta keputusan mereka lebih kredible dan lebih bertanggungjawab.

Saya yakin rakyat Malaysia dari sudut intelektualnya rata-ratanya telah mencecah "era of matuarity" atau era kematangan tidak semudah itu untuk menerima saranan-saranan tanpa mempersoalkan. Fenomena "taking thing for granted" atau ambil mudah pada hemat saya sudah lama berlalu di negara ini. Yang pasti, rakyat Malaysia lebih mengenali siapa Anwar Ibrahim berbanding beberapa kerat pemikir Islam luar negara yang mungkin diselewengkan pandangan mereka terhadap individu bernama Anwar Ibrahim. Sekiranya Anwar Ibrahim benar-benar menjadi Perdana Menteri, yang akan ditimpa bencana dan malapetaka bukan mereka yang berada di luar sana, tetapi rakyat dan negara kita sendiri yang akan menanggungnya.

Bagi saya keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS itu sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Anwar Ibrahim sememangnya mempunyai beban termasuk beban moral yang sangat berat dan berikutan dengan itu tidak layak sama sekali untuk memimpin rakyat negara ini.

DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL