PAS sebenarnya parti assabiyah


Alah bisa tegal biasa. Oleh kerana terlalu selesa dengan cara mudah dan murah untuk menggerakkan ideologi politiknya, Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menggunakan status ulamanya untuk kepentingan politik.Menyedari satu ciri penyokong PAS ialah sami’na wa ‘atha’na (dengar dan taat) maka Nik Aziz melontarkan satu lagi tafsiran songsang. Kali ini berhubung pengertian assabiyah.

Dengan memberi tafsiran mudah dan dangkal mengenai assabiyah, Nik Aziz menggunakan taktik lama PAS sama seperti strategi Amanat Hadi pada tahun 1981 untuk memperteguh saf politik PAS menghadapi pilihanraya umum ke-13.


Secara umumnya Nik Aziz cuba menakutkan ahli-ahli Umno dengan memfatwakan bahawa perjuangan parti itu (Umno) bersandarkan assabiyah atau perkauman. Beliau mendakwa kerana menganut fahaman ini, maka Umno telah menolak Allah.

Ikut ilmu mantik Nik Aziz, muslim yang menganut mana-mana fahaman (dalam kes ini assabiyah) berdosa pada Allah. Sebab katanya Rasulullah diutus untuk sebar Islam dan bertuhankan Allah dan bukan ideology buatan manusia. Maka solatnya tidak akan dapat pahala.

Logik ini nampak terlalu mudah dan cetek. Bagaimanapun bagi ahli PAS yang telah terbius dengan kepercayaan bahawa ulamanya tidak mungkin membuat kesilapan, ia diterima tanpa soal.

Apabila ahli PAS mangli dengan fahaman yang serong ini, orang-orang yang dilabel sebagai ulama dalam PAS menggunakan kedudukan istimewa ini untuk mengejar impian politik mereka untuk berkuasa.
Tidak perlu dibahaskan tentang persoalan assabiyah di segi hukumnya. Apa yang lebih penting diperhatikan ialah bagaimana ulama PAS menggunakan agama sebagai senjata politik.

Mengambil kesempatan untuk mengeluarkan hukum, Nik Aziz bukan sahaja mahu meremehkan perjuangan Umno malah cuba menyuntik keyakinan ahli-ahli PAS bahawa penentangan mereka terhadap Umno adalah sah dan halal.

Natijahnya Nik Aziz memperdalam kebencian dan mendorong perpecahan umat. Modalnya ialah agama. Dalam kes ini Nik Aziz cuba meremehkan iman ahli Umno dan menggalakkan ahli PAS untuk membenci sesama muslim.

Hujah beliau sebenarnya politik. Bagaimanapun Nik Aziz menyaluti dengan pertimbangan agama. Beliau memberi tafsiran assabiyah dari satu perspektif sahaja. Yang disogokkan pada penyokong PAS ialah assabiyah ini dilarang Allah. Namun perincian berhubung konsep assabiyah tidak pernah dihuraikan.

Yang dilarang ialah ketaksuban. Ini meliputi tindakan memberi sokongan dan perjuangan yang melampau batas hingga hilang perspektif keadilan. Itu yang dilarang.

Dalam Islam juga ada konsep hubbul watan (sayangi bangsa). Lantas assabiyah tidak wajar ditafsir sebagai penentangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau bangsa.
Ini kerana sebagai agama fitrah Islam akur pada naluri dan tabii insan yang cenderung mencintai kaum kerabat dan bangsa sendiri.

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: “Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al- assabiyah?

Sabda baginda: Tidak, sebaliknya assabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman.” (Riwayat Abu Daud)Sedar atau tidak, sebenarnya Nik Aziz telah menjadikan PAS satu “kaum” yang taksub pada kepentingan politik PAS sahaja. Natijahnya, yang dilumur dengan jenayah assabiyah ialah PAS dan ahli-ahli sendiri.Dalam bahasa politik Malaysia, Nik Aziz dan PAS sebenarnya adalah bertanggungjawab menyebar ketaksuban, assabiyah dan memecah belahkan umat Melayu-Muslim.

Soalan yang sama patut ditanya pada Nik Aziz, solat orang PAS dapat pahalakah? Ini kerana mereka berpegang pada ideologi PAS yang suka mengkafirkan orang lain dan memecah belahkan umat!

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana