DAP sah guna logo PKR, PAS
SHAH ALAM: DAP menolak jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa parti itu bebas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya memutuskan untuk menggunakan logo PAS dan PKR pada pemilihan tersebut.Keputusan itu diambil setelah ROS mempersoal keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang dipinda sendiri oleh pucuk pimpinan parti tiga minggu selepas pemilihan itu diadakan Disember lalu.
Tindakan DAP itu dilihat bertujuan meraih simpati pengundi Cina dengan memberi gambaran kononnya parti itu dizalimi oleh ROS.Dalam suratnya kepada DAP, ROS memberi parti itu sebulan untuk menjelaskan kemelut pindaan keputusan pemilihan CEC namun menegaskan, dalam satu lagi surat, bahawa, perkembangan itu tidak menjejaskan penyertaan DAP pada PRU13.
SPR turut memberikan jaminan bahawa DAP boleh bertanding menggunakan logo parti itu.Meskipun mendapat jaminan daripada dua badan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kononnya, ada cubaan jelas untuk mensabotaj atau mengkhianati DAP pada PRU13.Justeru, pucuk pimpinan DAP mengambil langkah julung kali untuk calon-calonnya bertanding menggunakan tiket PAS di Semenanjung Malaysia dan PKR di Sabah dan Sarawak."Ekoran itu, kami akan teruskan apa yang diputuskan semalam dan bertanding bawah lambang PAS di Semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak," kata Pengerusi DAP Karpal Singh ketika dihubungi.
Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Seputeh berkata selepas ini “anda boleh panggil saya ustazah,” merujuk kepada keputusan DAP menggunakan logo PAS.Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi juga mengesahkan DAP akan menggunakan logo parti Islam itu di Semenanjung. ROS menggantung pengiktirafannya terhadap CEC DAP kerana pucuk pimpinan parti itu mengambil keputusan luar biasa meminda keputusan pemilihan tanpa mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).Pindaan itu membolehkan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari Abdullah dilantik menganggotai badan tertinggi parti itu. Pendatang baru itu seterusnya diberikan tiket untuk bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera.
ROS hanya menyatakan pihaknya tidak akan mengiktiraf senarai CEC DAP sehingga diberi penjelasan bersabit kesilapan teknikal itu.
Comments