MERAUNG DAN MENANGIS MELIHAT RUMAH MUSNAH
LAHAD DATU 30 Mac - 21 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ekoran pencerobohan kumpulan pengganas Lahad Datu tidak dapat menahan rasa sedih apabila ada diantaranya menangis dan meraung selepas dibawa melihat keadaan rumah mereka yang hancur ekoran pertempuran pihak berkuasa dengan pengganas Sulu.
Salah seorang dari mangsa Norhaya Othman, 27, beliau yang dibebani hutang tidak dapat menahan sebak ekoran rumah yang didiaminya bersama suami dan dua orang anak kini musnah.
"Sakit hati tengok. Macam mana hendak masuk balik dan tinggal di sini dengan keadaan begini. Macam mana hendak bayar hutang yang masih banyak lagi itu!" katanya sambil mengalirkan airmata disamping suaminya Abdul Jabbar Bavotty, 39.
Dalam pada itu, Siti Aminah Hiya,21, yang juga penduduk kampung tersebut hilang punca pendapatan ekoran tidak boleh turun ke laut disebabkan perahu serta enjin bot miliknya hilang disamping rumahnya yang hangus terbakar.
Jelasnya, beliau rungsing kerana tidak boleh membuat bayaran balik pinjaman RM 1 500 untuk membeli kelengkapan perahunya bagi mencari rezeki.
Kesemua keluarga tersebut yang merupakan penduduk Kampung Tajung Labian dibenarkan melawat rumah masing-masing selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tinjauan menunjukkan lebih kurang 26 rumah di Kampung Tanjung Labian musnah dan 16 lagi perlu diperbaiki.
Comments