Manifesto Pembangkang Boleh Buat Negara Muflis – Dr Mahathir


KUALA LANGAT, 27 Feb – Manifesto pakatan pembangkang boleh menyebabkan kerajaan menjadi muflis kerana pelaksanaannya melibatkan perbelanjaan yang sangat banyak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebuah kerajaan perlu mempunyai wang untuk mentadbir negara, dan manifesto pembangkang itu dilihat akan mengurangkan pendapatan kerajaan.

“Manifesto ini dibuat oleh pihak yang tidak pernah menjadi kerajaan. Dia tidak tahu kerajaan perlu ada wang, tidak boleh belanja sahaja, dan jika kita lihat manifesto mereka ialah nak kurangkan pendapatan kerajaan dengan kurangkan cukai, tol dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran kapal latihan kedua Tentera Laut Diraja Malaysia ‘Teguh Samudera’ oleh isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di limbungan NGV Tech Sdn Bhd di Sijangkang hari ini.

Pada 25 Feb lepas, pakatan pembangkang melancarkan manifesto menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13, antaranya menghapuskan tol dan menyediakan pendidikan percuma bermula dari prasekolah hingga menara gading.

Mengambil contoh di Eropah, Dr Mahathir berkata ada negara di benua itu gagal mengurus kewangan dengan baik menyebabkan ia muflis dan hampir muflis.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat harus bijak memilih kerajaan yang lebih berpengalaman mengurus kewangan dalam membangunkan negara, dan bukan kerajaan yang bakal menjejas kewangan negara.

“Kalau kita nak jadi bankrap, bolehlah kita beri semua… kita jangan kutip cukai, lepas itu bagi pendidikan percuma, lebuh raya percuma, semuanya… kerajaan akan muflis, mana nak cari duit.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) juga mengatakan manifesto bukan perjanjian, jadi yang dia buat (manifesto PRU 13), buat apa? Kalau dia kata ini bukan janji, tolak sahaja dia, buat serabut sahaja,” katanya.

Mengulas isu pencerobohan warga Filipina di Lahad Datu, Sabah, Dr Mahathir berkata ia perlu diselesaikan melalui pendekatan berhemah, dan bukan kekerasan.

Ditanya sama ada isu itu akan dapat diselesaikan lebih cepat dengan campur tangan pihak beliau, Dr Mahathir berkata: “Saya tak fikir akan ada perbezaan jika saya bertanggungjawab atau orang lain yang bertanggungjawab.”

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Wajib Baca....8 perkara Lee Kuan Yew akan lakukan jika memerintah Malaysia