Bukan Soal BN Tidak Yakin Hadapi Pilihan Raya - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak timbul soal Barisan Nasional tidak yakin menghadapi pilihan raya kerana apa yang penting adalah menunjukkan kemampuan parti untuk terus membela rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, apabila kerajaan dipilih oleh rakyat maka telah dipilih untuk mentadbir dan memimpin negara untuk tempoh lima tahun.
“Dalam masa lima tahun itu amat penting bagi kita untuk memperlihatkan kemampuan kita mentadbir, memimpin negara dan membawa kemajuan kepada negara kita dan membela untung nasib rakyat.
“Jika kita membuat pilihan raya terlalu awal, bererti kita memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, Jumaat.
Beliau mengulas mengenai dakwaan pembangkang yang seolah-olah memberi gambaran bahawa BN tidak yakin kerana sengaja melambat-lambatkan pilihan raya.
Ketika ditanya sekiranya pada Jumaat ketika berlangsungnya mesyuarat dewan tertinggi BN sudah mengumumkan mengenai tarikh pilihan raya yang menunjukkan keyakinan BN, Najib berkata: “Kita tidak boleh takbur tetapi tahap keyakinan kita adalah berasaskan pada sambutan rakyat.”
Beliau menambah, ia merujuk kepada lawatan BN dan program bertemakan 1Malaysia dan konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Perdana Menteri turut merujuk kepada pengenalan pelbagai produk baru dan pembaharuan seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Program Jelajah Janji Ditepati.
"Kita dah buat perkara ini dan bukanlah berasaskan pada sesuatu yang tidak berpaksikan kepada penilaian tertentu yang kita lakukan,” katanya.
Comments