KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN ALI MENJAWAB TUDUHAN YB AZMIN ALI





Semasa membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri pada Hari Jumaat lepas, YB Bukit Antarabangsa telah menyelar saya dengan kenyataan-kenyataan berbaur membalas dendam dan mengandungi unsur jahat untuk mempersoalkan kredibiliti saya sebagai mantan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan Adun Gombak Setia.

Tiga perkara yang ditimbulkan oleh beliau. PERTAMA, pemberian kontrak kerja-kerja penyelenggaraan rutin jalan-jalan negeri yang diberi kepada kontraktor utama iaitu KPS-HCM SDN BHD. KEDUA, kos yang tinggi mengadakan upacara pelancaran PADAT pada tahun 2010 dan KETIGA, kerja-kerja pengubahsuaian pejabat EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Mengenai perkara PERTAMA, pada tahun 2009 dan 2010 proses melantik sub-kontraktor telah dibuat setelah diadakan perbincangan diantara KPS-HCM dan pejabat EXCO berhubung dengan prestasi sub-kontraktor-sub-kontraktor yang telah dilantik. Satu senarai cadangan telah dihantar kepada Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor untuk kelulusan YB Pegawai Kewangan Negeri. Kelulusan itu kemudiannya dipanjangkan kepada Pengarah JKR Selangor untuk pengeluaran surat tawaran dengan salinan kepada KPS-HCM. Untuk tahun 2010, JKR Negeri telah melantik 85 sub-kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja di 9 daerah di Negeri Selangor.

Bagi tahun 2011 dan 2012, pihak JKR Selangor telah memanggil tender terbuka seperti mana yang telah diarahkan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor. Walau bagaimanapun pihak KPS-HCM masih belum menerima nama-nama sub-kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja rutin tersebut. Memandangkan kerja-kerja di tapak tidak boleh ditangguhkan, pihak KPS-HCM telah menyambung kontrak mereka atas dasar bulan ke bulan.

Pejabat EXCO tidak menggunakan kuasa mutlak untuk pemilihan sub-kontraktor, sebaliknya sentiasa berunding dengan kontraktor utama KPS-HCM yang kemudiannya senarai tersebut dihantar ke Pejabat Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor. Hanya Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor yang berhak meluluskan senarai tersebut dan kemudiannya dipanjangkan kepada JKR Negeri untuk memuktamadkan perlantikan.

Sebagai EXCO, saya dapati peraturan yang sedia ada telus walaupun tidak mengikuti norma-norma tender terbuka. Prestasi setiap kontraktor yang telah diberi kontrak sentiasa dipantau bagi memastikan mereka termasuk dalam kategori kontraktor cemerlang yang kerja-kerja mereka terus disambung dari tahun ke tahun.

Perkara KEDUA telahpun saya jawab berulang kali di Dewan Negeri. Ringkasnya kos pelancaran PADAT yang telah diluluskan oleh Mesyuarat EXCO ialah sebanyak RM546,920.00. Selain daripada itu pihak lembaga PADAT telah memutuskan untuk menggunakan peruntukan budget tahunan yang asalnya diperuntukkan kepada Muzium Negeri bagi mengadakan program-program tertangguh yang telah dibudgetkan bersempena dengan Pelancaran PADAT. Sebab itulah jumlah peruntukan yang dicantumkan kelihatan agak besar. Apapun setiap perbelanjaan telah mendapat kelulusan pihak EXCO dan Kerajaan Negeri.

PADAT telah menyediakan laporan lengkap mengenai perkara ini dan telah pun dibawa ke Dewan Negeri dalam mesyuarat-mesyuarat sebelum ini.

Perkara KETIGA juga telah pernah ditimbulkan oleh beberapa pemimpin UMNO Negeri dan saya telah pun mengeluarkan kenyataan mengenainya. Ruang pejabat yang dimaksudkan telah mengalami pengubahsuaian untuk menampung pegawai dan kakitangan pejabat saya sebagai EXCO, termasuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) keseluruhannya berjumlah 19 orang.

Keseluruhannya kerja-kerja pengubahsuaian itu amat sederhana dari segi kualiti bahan-bahan dan mutu kerja yang dilaksanakan. Saya ingin menjemput YB Bukit Antarabangsa membuat sedikit penyiasatan untuk membuat perbandingan di antara pengubahsuaian pejabat saya itu dengan kerja-kerja pengubahsuaian mana-mana Jabatan Kerajaan Negeri termasuk Anak Syarikat dan Badan Berkanun yang membuat kerja-kerja pengubahsuaian di sekitar jarak masa yang sama. Mengikut maklumat yang saya perolehi, kerja-kerja pengubahsuaian pejabat saya adalah lebih rendah kosnya jika dibandingkan dengan kos pengubahsuaian pejabat EXCO yang lain seperti YB Xavier dan YB Halimah.

Seperkara lagi, lantikan kontraktor yang diberi kerja dan jumlah kos yang terlibat telah dilulus oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor dan dipantau oleh Unit Pengurusan Bangunan SUK.

Saya telah menjawab perkara-perkara diatas walaupun sebahagiannya telah disentuh beberapa kali dalam Sidang Dewan yang lalu. Saya boleh memaafkan kealpaan YB Bukit Antarabangsa kerana menimbulkan semula perkara-perkara ini. Tetapi, sukar bagi saya untuk memaafkan YB tersebut disebabkan niat buruk yang tersembunyi mengapa perkara itu ditimbulkan semula.

Tindakan YB Bukit Antarabangsa mempersoalkan kredibiliti saya di Dewan Negeri baru-baru ini adalah secara langsung mempertikai kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat itu sendiri. Mungkin beliau sendiri meragui kepimpinan YAB Menteri Besar Selangor dalam menerajui pentadbiran Negeri Selangor. Maka sebab itulah beliau memilih untuk menyerang secara melulu bekas EXCO Kerajaan Negeri Selangor dalam ucapan beliau tersebut.

Oleh kerana saya telah bersedia untuk menjawab dan telah pun memberikan jawapan kepada tohmahan YB, sekarang giliran YB Bukit Antarabangsa pula untuk menjawab soalan saya bagi pihak rakyat negeri ini yang ingin tahu setelah bertahun-tahun tidak mendapat respon daripada YB mengenainya. Perkara-perkara berikut ialah:

i. Sila jelaskan dari mana sumber kewangan YB Bukit Antarabangsa dan isteri untuk membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta pada tahun 1992 hingga 1994. Sedangkan ketika itu saya difahamkan YB menerima gaji lebih kurang RM2,000.00 sebulan sahaja.

ii. Sila nafikan laporan yang menyatakan bahawa Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia Sdr S.A Vickneswaran yang mendakwa bahawa YB dan isteri termasuk seorang ipar memiliki saham yang nilainya mencecah RM8.5 juta di awal tahun 1990 an.

iii. Sila nafikan tuduhan adinda perempuan bongsu YB yang mengatakan bahawa YB sudah 8 bulan tidak menziarahi dan hampir terputus hubungan dengan ibu kandung sendiri yang kini berumur 78 tahun dan dilaporkan uzur.

iv. Sila nafikan tuduhan yang dibuat dalam buku karangan Syed Hussin Al-Attas bertajuk “Tuhan, Politik dan Seks” yang diterbitkan pada tahun 2010 menyebut bahawa YB dikatakan mengetahui mengenai hubungan intim isteri YB dengan Penasihat PKR merangkap Ketua Pembangkang. Perkara yang sama dibangkitkan oleh adik YB sendiri, Umi Hafilda dalam sidang akhbar beliau turut serta minggu lalu.

v. Sila sahut cabaran para blogger yang meminta YB mengizinkan ujian DNA dijalankan ke atas anak YB yang bernama Farah Afifah di klinik yang di iktiraf oleh kerajaan untuk menentukan kesahihan nasab biologinya.

Saya timbulkan persoalan-persoalan ini kerana bagi saya YB tidak mempunyai “locus-standi” untuk berbicara soal kredibiliti, integriti dan ketelusan. Banyak pihak yakin selagi YB tidak membersihkan diri dan keluarga terhadap tuduhan-tuduhan ini, selagi itulah mereka menasihatkan supaya YB menutup mulut sahaja. Lebih sesuai untuk YB mencermin muka sendiri sebelum menuduh orang lain.

Bagi saya, tuduhan jahat yang dilakukan oleh YB itu mungkin juga akibat kerisauan yang di alami oleh YB dan rakan-rakan Pakatan Rakyat terhadap kejayaan siri jelajah politik saya sejak saya di pecat daripada PAS dan digugurkan sebagai Ahli EXCO. Sambutan masyarakat terhadap siri jelajah saya adalah diluar jangkaan. Ini menunjukkan betapa masyarakat sudah mula muak dan sangsi dengan Pakatan Rakyat terutamanya pimpinan PKR yang sentiasa terpalit dengan masalah keamanahan dan moral yang serius termasuk YB Bukit Antarabangsa sendiri.

Apapun, kesemua tuduhan jahat yang dilempar oleh YB Bukit Antarabangsa ke atas saya itu tidak ada satupun yang secara berfakta menyalahi mana-mana peraturan dan boleh disabitkan kesalahan di mana-mana mahkamah. Sehingga hari ini, Alhamdulillah, saya bebas daripada sebarang bentuk kesalahan mahupun siasatan daripada mana-mana pihak berkuasa. Sebaliknya, YB Bukit Antarabangsa sendiri masih berhadapan dengan siasatan SPRM dan pihak polis terhadap kesalahan yang beliau lakukan.

Akhirnya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Selangor di atas kenyataan yang dibuat oleh beliau yang secara jelas mengesahkan betapa tuduhan yang dibuat oleh YB Bukit Antarabangsa adalah tidak berasas sama sekali dan seluruh tindakan saya ketika menjadi EXCO adalah sebenarnya mengikut peraturan dan piawaian yang ditetapkan.


YB DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI
Pinggir Taman Tun Dr Ismail,
Kuala Lumpur.

24 Mac 2012

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana