Penduduk Kampung Buah Pala minta Guan Eng letak jawatan


GEORGETOWN: Persatuan penduduk Kampung Buah Pala hari ini mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng, meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat negeri ini. Wakilnya, C Tharmaraj, berkata pihaknya membuat desakan itu kerana merasakan Setiausaha Agung DAP itu sudah tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan gagal menunaikan janji. "Janji dibuat pada kempen pilihan raya umum yang kononnya mahu mengembalikan hak dengan memberikan tanah ini kepada kami tapi tidak ditunaikan. Saya rasa lebih baik dia letak jawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum tahun lalu, pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas telah menggunakan isu Kampung Buah Pala sebagai modal mereka berkempen dengan berjanji akan mengembalikan hak penduduk sekiranya mereka memerintah negeri ini. Semalam, penduduk kampung itu menyatakan rasa kecewa dan marah dengan keengganan Guan Eng bertemu mereka untuk menyerahkan memorandum berhubung nasib mereka selepas mereka diarah mengosongkan rumah mereka esok oleh pemaju, Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd. Sementara itu, Pengarah Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, Thomas Chan berkata sebagai pemaju, syarikatnya sedang berbincang dengan pihak kerajaan negeri dalam tempoh sebulan ini untuk menyelesaikan masalah itu.
"Kami tidak bercadang untuk membayar sejumlah wang sebagai pampasan lagi dan hanya akan membayar saguhati melalui kerajaan negeri kepada penduduk-penduduk tersebut," katanya. Katanya, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan penduduk yang terdiri daripada 41 keluarga mengosongkan rumah dan sekiranya mereka enggan berpindah apabila tempohnya berakhir 2 Ogos nanti, mereka ini akan dianggap menghina keputusan mahkamah dan tindakan terpaksa diambil. Beliau berkata, syarikatnya telah mengalami kerugian RM6juta setahun apabila projek yang sepatutnya bermula pada awal tahun lalu, ditangguhkan. "Sebanyak 10 rumah telah menerima pampasan yang diberikan kepada mereka dan kini tinggal 22 buah rumah yang masih degil," katanya.
Kampung Buah Pala yang mempunyai 41 buah rumah dengan 300 penduduk itu adalah satu-satunya penempatan masyarakat India yang berusia 100 tahun di negeri itu. Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda MIC, T Mohan, meminta kerajaan pusat membantu menyelesaikan segera isu kampung itu yang dilihat boleh membangkitkan isu perkauman. "Pemuda MIC risau dengan perkembangan yang berlaku jika ia tidak diselesaikan segera," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa kerajaan pusat prihatin terhadap masalah berkaitan masyarakat India di negara ini. Katanya, Pemuda MIC juga berharap agar isu itu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak. "Sikap tidak ambil peduli dan berdiam diri menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan pembangkang sama sekali tidak bersedia untuk menghadapi masalah dan rintangan," katanya. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL