Saya orang parti... hati saya BN - Jumat Idris

Pembangkang cukup berharap bekas bekas Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris 'lompat' ke Warisan atau mana-mana parti selepas digantung keahlian daripada UMNO sejak tahun lepas.
Namun penyandang kerusi Parlimen Sepanggar ini kekal setia bersama perjuangan Barisan Nasional (BN) meskipun keanggotaan beliau dalam tergantung.
Jumat berjanji memberi sokongan penuh seterusnya membantu jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Sepanggar bagi terus mengekalkan kerusi kawasan Parlimen itu dalam genggaman BN.
Jumat mendedahkan pendiriannya itu dihadapan kira-kira 3,000 penyokongnya sekali gus menjawab segala teka-teki kononnya beliau akan bertanding atas tiket pembangkang di parlimen Sepanggar.
"Saya orang BN dan hati saya masih kuat kepada BN... Saya taat setia kepada parti (buktinya) kerusi saya di Parlimen sampai (Parlimen dibubarkan) masih lagi BN. Justeru, jangan ada sesiapa pertikaikan kesetiaan saya.
"Walaupun saya tidak dicalonkan pada pilihan raya kali ini, saya masih akan meneruskan keanggotaan saya sebagai dalam BN sehingga hukuman saya digugurkan (dalam UMNO)," katanya dipetik Bernama.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Dalam pada itu, Jumat juga menggesa penyokong-penyokongnya memberi sokongan kepada BN dan calon dipilih mewakili parti bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan terbabit.
Sementara itu, Salleh Said menyifatkan tindakan Jumat  untuk terus setia dalam perjuangan BN sebagai pemimpin tulen dan sejati.
Salleh berkata pendirian yang dizahirkan Jumat mengenai kesetiaannya kepada parti membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar dan bersedia menerima keputusan daripada pucuk pimpinan.
"Saya gembira kerana kesetiaannya untuk terus bersama BN malah akan menyokong perjuangan BN bagi memastikan kemenangan kerusi Parlimen Sepanggar kekal dalam genggaman BN.
"Beliau (Jumat) tahu perjuangan masih lagi panjang. Saya yakin dengan kerjasama kita mampu meneruskan (legasi) kepimpinannya di Sepanggar dalam membawa pembangunan di kawasan ini," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Salleh berkata perbincangan akan dibuat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selalu Presiden parti berhubung proses mengembalikan semula keanggotaan Jumat dalam UMNO.
Salleh berkata perkara itu telah pun dimaklumkan sendiri oleh perdana menteri kepada Jumat dan pihaknya akan membawa isu itu ke peringkat tertinggi parti.
"Bagaimanapun, perkara perlu mengikut prosedur-prosedur tertentu. Sebelum ini, beliau (Jumat) merayu keanggotaan kepada UMNO dikembalikan (reinstate) kerana beliau sendiri percaya bahawa BN dan UMNO adalah platform terbaik meneruskan perjuangannya kepada rakyat.
"Mengembalikan keanggotaannya adalah perlu kerana beliau telah menunjukkan kesetiaanya kepada parti," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, calon BN kerusi Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman melahirkan penghargaan dan terharu atas keikhlasan Jumat untuk membantu beliau dalam kempen sekali gus bersama-sama berjuang mempertahan Parlimen Sepanggar pada PRU14.
Pada PRU13, Jumat menang kerusi Parlimen Sepanggar dengan memperoleh majoriti 9,442 undi.
Pada PRU14 ini, Abdul Rahman yang mewakili BN-UMNO akan dicabar calon Warisan Mohd Azis Jamman, Jeffrey Kumin (SAPP) dan Robert Sopining (PCS) dalam persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana