NAJIB MAMPU BAWA MALAYSIA LEBIH BAIK – KU LI

Ahli Parlimen Malaysia paling lama, Tengku Razaleigh Hamzah, menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai pentadbir yang cekap dan berhemat serta memiliki kemahiran untuk mengemudi negara ini ke arah mencapai kejayaan lebih cemerlang.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, berkata walaupun orang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza tentang Najib, beliau berpendapat Najib adalah pemimpin yang tegas.

“Saya rasa beliau seorang yang cukup teliti dan berfikiran jelas, cukup berkesan dari segi kepimpinan sepanjang yang melibatkan partinya atau kerajaan yang diterajuinya,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian ketika diminta memberi pandangan tentang kepimpinan Najib dalam wawancara dengan Bernama News Channel bagi satu program bual bicara.

Program ini dijadual disiarkan pada 3.30 petang ini dan 3.30 petang Selasa.

Putera Raja dari Kelantan itu, yang menjadi Ahli Parlimen sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, pada 1970-an, berkata beliau berpuas hati dengan pembangunan Malaysia setakat ini, walaupun ia mengambil masa yang lama untuk mencapai peringkat yang ada sekarang.

“Ia patut dipuji dalam erti kata kita telah melakar pencapaian, manakala transformasi yang dilalui daripada bukan sebuah negara maju kepada sebuah negara separa maju, adalah sesuatu yang amat dialu-alukan, amat membanggakan dan saya berpendapat rakyat secara umumnya mendapat banyak manfaat daripada pembangunan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Tengku Razaleigh yang kini berusia 81 tahun, akan mempertahankan kedudukannya sebagai wakil rakyat paling lama di negara ini iaitu sebagai anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.

Tengku Razaleigh akan mempertahankan kerusi itu yang dimenangi beliau pada 1974 yang ketika itu dikenali sebagai Ulu Kelantan.

Beliau menyertai UMNO pada 1962 dan memenangi kerusi negeri Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat pada 1969 dalam pertandingan menentang calon PAS, Hussin Abdullah.

Pada 1974, Tengku Razaleigh bertanding di kerusi Parlimen dan kekal menjadi wakil rakyat kawasan Gua Musang (dahulunya Ulu Kelantan) dan ketika beliau mengasaskan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 pada 1989 kerana enggan menyertai UMNO Baru yang ditubuhkan setelah UMNO dibubarkan oleh mahkamah.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, beliau mengalahkan calon PAS, Wan Abd Rahim Wan Abdullah, dengan majoriti 8,413 undi.

Pada pilihan raya umum kali ini, Tengku Razaleigh terlibat dengan pertandingan tiga penjuru bersama-sama Abdullah Hussein (PAS) dan Mohd Nor Hussin (PKR-PPBM) dan akan menjadi wakil rakyat bagi penggal ke-12 sekiranya beliau mencapai kemenangan.

Mendapat pendidikan di Queen’s University of Belfast, Ku Li memiliki Ijazah Sarjana Sains Ekonomi dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.

Beliau dilantik menjadi menteri kewangan oleh Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn pada 1976 selepas kematian Tun Abdul Razak. Beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Pada 1978, Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengerusi Bank Pembangunan Islam.

Barangkali, pencapaian paling tinggi bagi Tengku Razaleigh dalam bidang kewangan ialah apabila beliau dilantik menjadi pengerusi Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa pada 1977.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana