KEMELUT POLITIK MELAYU HANYA UNTUNGKAN DAP

Sesuatu yang menguntungkan – penerapan doktrin yang berjaya dilakukan, bila Umno sebut sahaja mengenai DAP, maka tuduhan rasis akan terus dilemparkan.

Pembangkang berjaya menyemat sentimen seperti ini, yang hakikatnya menguntungkan DAP. Sehingga pilihan raya umum ke-13 (PRU13) – sokongan ke atas DAP hadir daripada PAS sekali.

DAP berjaya dalam membawa imej parti pelbagai kaum, walaupun penyertaan Melayu amat sedikit. Mengambil elitis kepimpinan orang Melayu sebagai ahli semata-mata untuk menunjukkan parti itu tidak rasis, sungguhpun akhirnya ramai antara mereka yang memberi gambaran berbeza.

Kenapa apabila Umno melakarkan sejarah penubuhan DAP, maka yang melenting-lenting hari ini adalah rakan kongsi politik mereka seperti PKR dan Amanah?

Tidak salah kalau lakaran sejarah diteliti – mengenai asas kewujudan DAP yang berasal daripada People’s Action Party.

Asas awal kejayaan DAP adalah pilihan raya 1969 – kemenangan yang memberangsangkan dengan modal perjuangan menentang Dasar Ekonomi Baru dan meneruskan kempen “Malaysian Malaysia” tajaan Lee Kuan Yew. Tidak salah kita menceritakan semula sejarah DAP.

Setelah itu siri PRU tidak menyaksikan DAP beraksi dengan baik dan kebangkitan DAP terbendung dengan kekuatan Umno sehingga kemelut Melayu dalam Umno berlaku.

Setelah berlaku kemelut politik pada 1998 – perkembangan DAP semakin menyerlah. Peningkatan sokongan Melayu yang berpecah daripada Umno semakin meningkat.

PAS juga terbabit berkempen dengan DAP. Barisan Alternatif dan akhirnya bertukar menjadi Pakatan Rakyat (PR) merupakan gabungan yang mula mencabar Barisan Nasional (BN)/Umno.

DAP tersendiri telah berjaya dalam PRU13, meletakkan 51 calon di peringkat persekutuan dan memenangi 38 kerusi, hampir 75% kemenangan.

Ternyata DAP menerima nikmat daripada kemelut yang melanda orang Melayu, khususnya pertembungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Umno.

PR mencatat kemenangan besar dan amat menguntungkan DAP. Hari ini perpecahan berlaku lagi – Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak. Apakah sebenarnya dengan perpecahan ini tidak akan memberi kesan kepada sokongan terhadap DAP?

Sebenarnya tidak salah kalau kita membicarakan isu ini dalam konteks terbuka kerana tambahan persengketaan akan hanya merendahkan penyertaan suara Melayu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri nanti.

Tidak salah kita membicarakan kemerosotan ini dalam kerangka positif dan bukan dalam kerangka perkauman secara tidak sihat.

Salah ke kalau BN/Umno membicarakan isu-isu seperti ini dalam keadaan wakil Cina juga ada dalam BN?

Salah ke kalau BN/Umno memperjuangkan juga suara wakil orang Melayu yang mahu dikekalkan dan ditambah dalam konteks demokrasi yang ada?

Apakah setiap kali jika kita membicarakan isu ini, maka label perkauman akan dilemparkan kepada Umno dan BN, dan ini kononnya melibatkan diskriminasi ke atas orang Cina.

Ironis sekali apabila DAP membicarakan soal memperjuangkan hak-hak mereka dalam konteks Cina, maka kita menerima sebagai sesuatu yang dibolehkan atas nama politik.

Apabila agenda kesamarataan dimulakan – menolak sebarang peruntukan khusus untuk Bumiputera, kita menerimanya sebagai satu keterbukaan. Apakah kita tidak mahu sikap toleransi antara kaum dipertingkatkan?

Namun, apa yang jelas, bicara mengenai Melayu adalah rasis, bicara mengenai DAP adalah rasis dan semua ini dalam konteks politik tidak menguntungkan sesiapapun, malah mampu merugikan Melayu kalau sentiasa terbelah dan berpecah.

Kita tolak isu Cina, kita sentiasa hormat-menghormati, tetapi apabila kita menggesa sesama kita untuk bersatu membulatkan nekad dan komitmen bersama, adakah itu satu gesaan yang bersikap rasis?

Rasis kini adalah terma yang dimanipulasi untuk kepentingan politik tertentu. Melayu digesa hari ini untuk membuka kongkongan – menjadikan Melayu liberal, Islam liberal seolah-olah kaum lain sudah liberal dan tidak perlu diingatkan.

Dalam apapun yang membicarakan kita, jelas apa yang berlaku ialah kebangkitan DAP hasil daripada kemelut orang Melayu yang terbelah dari segi politik. Ini tidak dapat dinafikan.

Ini adalah hakikat yang ada dan sebarang kemelut berterusan akan memberi impak dan kesan kepada penyertaan orang Melayu dalam politik, dalam keadaan kita amat tertinggal dalam persoalan ekonomi.

Sudah pasti, perkelahian sesama Melayu, rebutan kuasa sesama kita dan cabar-mencabar sesama sendiri tidak menguntungkan Melayu itu sendiri, malah memberi kesan besar kepada perpecahan. Kalau tidak terpinggir terus, maka setidak-tidaknya pencairan pegangan politik pasti akan berlaku.

Diharap ini tidak pula dikategorikan sebagai bersikap perkauman dan dituduh usaha menaikkan atau menimbulkan semangat perkauman dari sudut negatif. Ini semata-mata berbicara dalam konteks demokrasi dan kemajmukan rakyat Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL