DAKWAAN TAJUDIN RAMLI PERLU DISIASAT PIHAK BERKUASA

Pihak berkuasa perlu menyiasat pendedahan tokoh perniagaan, Tan Sri Tajudin Ramli, yang mendakwa dipaksa Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya membeli saham Penerbangan Malaysia (MAS) pada harga lebih tinggi daripada pasaran sekitar tahun 1990-an.

Menerusi rakaman video berdurasi tujuh minit yang viral di media sosial hari ini, Tajudin mendakwa tidak dibenarkan menolak permintaan harga pembelian terbabit kerana Dr Mahathir ketika itu adalah Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, mendakwa Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri mahu sesiapa saja yang bekerja di bawahnya, mengikut telunjuknya.

“Apabila Tajudin mengatakan dia tidak boleh berkata ‘tidak’ kepada keputusan Dr Mahathir itu, saya tidak hairan kerana ia adalah realiti yang terpaksa dihadapi ketika bekerja di bawah Dr Mahathir.

“Namun, apa yang menghairankan saya adalah bagaimana seorang yang begitu rapat dengan Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, pada satu ketika dahulu boleh mendedahkan perkara yang sangat serius sekarang. Pasti ada sesuatu yang berlaku sehingga beliau bertindak demikian.

“Justeru, pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain perlu beri perhatian kepada perkara ini bagi menyiasat sebarang ketirisan atau salah guna kuasa,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Pendapat sama disuarakan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, yang berkata, pendedahan Tajudin membuktikan Dr Mahathir mengamalkan pemerintahan diktator, untuk menjayakan semua rancangannya ketika menjadi Perdana Menteri.

“Apabila Tajudin sendiri yang keluar memberikan kenyataan, sudah ada elemen ragu-ragu yang perlu diberi perhatian oleh SPRM dan pihak berkuasa lain.

“Sepanjang mengenali Dr Mahathir, banyak keputusan dibuat tanpa persetujuan Kabinet, bukan saja dalam hal ehwal politik malah sektor ekonomi. Beliau gunakan kuasa dan mencerminkan sikap pemimpin yang diktator,” katanya.

Dalam rakaman video yang viral sejak beberapa hari lalu, antara lain Tajudin bercakap mengenai pembelian saham MAS yang didakwanya dibuat kerana arahan Dr Mahathir dan Daim.

“Dulu, saham MAS tak sampai RM3 (RM600 juta jumlah harga pasaran). Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Hatyai, Thailand bersama Tun Daim, arwah Yahaya (Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad) dan Ali Abul Hassan (Tan Sri) untuk bertemu perdana menteri (Dr Mahathir).

“Bila kami tiba, saya diarahkan membeli saham MAS pada harga RM8. Saya kata kepada Tun Daim, ia terlalu mahal. Saya maklumkan kepada dia (Tun Daim) bahawa saya tidak akan membayar lebih daripada RM5 dan RM8 itu terlalu mahal, saya tidak mampu untuk membayarnya.

“Selepas itu, Tun Daim beritahu saya ‘kamu tidak boleh kata ‘tidak’ pada Perdana Menteri’,” katanya dalam video berkenaan.

Tajudin berkata, berikutan itu, beliau terpaksa membayar lebihan RM400 juta dalam urusan jual beli saham MAS ketika itu berikutan harga yang ditetapkan Tun Mahathir melebihi harga pasaran.

Dr Mahathir sebelum ini pernah melakukan keputusan kontroversi berhubung MAS membabitkan Tajudin pada 1994.

Tajudin dilaporkan membuat pembelian saham sebanyak 29 peratus dalam MAS pada 1994 daripada Bank Negara dengan membayar hampir dua kali ganda dari harga pasaran bagi syarikat penerbangan itu.

Beliau turut dilaporkan berkata, hanya bersetuju membeli saham berjumlah RM1.8 bilion itu kerana Dr Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri, dan Tun Daim Zainuddin memberi jaminan bahawa beliau akan dibebaskan dari semua liabiliti jika tugas mengendalikan syarikat penerbangan terlalu berat.

Pada tahun 2000, kerajaan membeli semula saham MAS pada RM8 sesaham, yang dilaporkan 117 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran.

Pada masa sama, Tajudin mengambil tindakan undang-undang kerana kerajaan didakwa menolak perjanjian untuk melindunginya daripada kerugian dan liabiliti.

Dr Mahathir kemudiannya menafikan dakwaan beliau memujuk Tajudin membeli syarikat penerbangan itu untuk membantu menyelamatkan Bank Negara.

Pada 2006, Tajuddin disaman RM589 juta oleh Danaharta, sebelum beliau memfailkan saman balas kepada syarikat berkenaan, kerajaan dan beberapa syarikat serta individu lain dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM13 bilion.

Saman itu membabitkan urus niaga saham MAS, Celcom (M) Bhd dan Naluri Bhd. Beliau mendakwa Dr Mahathir dan Tun Daim memintanya untuk membeli saham syarikat penerbangan itu pada RM8 yang lebih tinggi dari harga pasaran pada ketika itu sebagai ‘khidmat kepada negara’, untuk membantu kerajaan menutup kerugian Bank Negara dalam urusan pertukaran mata wang asing.

Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana