PENGUMUMAN PENCABAR DATUK MUSTAPA TONJOLKAN KELEMAHAN HUSAM

Pagi tadi saya ditanya oleh seorang wartawan mengenai pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa, bahawa pakatan itu akan meletakkan bekas Pengarah MITI Kelantan, Azran Deraman, sebagai calonnya di Parlimen Jeli pada PRU14 nanti.

Jawab saya kepada wartawan itu, Pakatan Harapan Kelantan silap besar jika meneruskan hasrat meletakkan Azran di Parlimen Jeli malah Husam juga tidak betul bila menyebut pemilihan Azran adalah tepat dan diyakini mampu memberi kemenangan kepadanya.

Berdasarkan rakaman ucapan Husam, didapati beliau sangat yakin Azran akan mengalahkan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Parlimen Jeli pada PRU14 nanti di atas asas beliau “orang muda, handsome, ada kelulusan, dan pernah bersama dengan Datuk Seri Mustapa".

Kata Husam, “(Azran) ada bersama dengan Datuk Mustapa, dalam dan luar Datuk Mustapa dia tahu, rahsia Datuk Pa dia tahu, kekuatan Datuk Pa dia tahu, kelemahan Datuk Pa dia tahu”, seolah-olah banyak rahsia dan kelemahan Datuk Seri Mustapa akan dibongkar.

Begitupun, selain langsung tidak memasukkan faktor PAS ke dalam perkiraan menang kalah pertarungan di Parlimen Jeli, pengumuman ini menunjukkan kelemahan Husam yang seolah-olah tidak menyelidik dengan teliti latar belakang individu yang beliau julang ini.

Azran pernah berdepan masalah peribadi yang serius bila beliau ditahan reman seminggu dari 16 ke 21 Mac 2017 kerana didakwa menggunakan proksi untuk mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM600,000 ketika bertugas sebagai Pengarah MITI di Kelantan.

Penahanan Azran ini agak mengejutkan rakyat tempatan waktu itu, apatah lagi bila Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff, mendedahkan pihak SPRM mengesan wang tunai berjumlah RM190,000 yang berada di dalam akaun bank milik beliau.

Kes tuntutan palsu yang dikatakan terbongkar ketika audit tahunan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara di MITI pada akhir tahun 2016 ini menyebabkan Azran disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Walaupun Azran belum didakwa dan dibuktikan bersalah di mahkamah, tetapi liputan media mengenai kes tuntutan palsu ini boleh mempengaruhi persepsi rakyat serta boleh memudaratkan beliau dan Pakatan Harapan jika dicalonkan pada PRU14 nanti.

Jika benar Azran akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan di Parlimen Jeli, tidak mustahil kes tuntutan palsu ini akan menjadi hangat kembali sekali gus boleh menyukarkan peluang beliau dan Pakatan Harapan untuk mencapai kemenangan nanti.


Serangan boleh dibuat oleh musuh Azran bahawa beliau adalah seorang individu yang kecewa menyebabkan tindakan beliau melawan bekas boss beliau di Parlimen Jeli sebagai misi untuk melunaskan masalah peribadi bukan untuk membela rakyat Jeli.

Begitu juga dalam bidang politik di mana Azran diberitakan pernah dikenakan tindakan disiplin oleh bekas parti beliau kerana didakwa terlibat dengan politik wang sewaktu mahu merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah sebelum ini.

Dalam suasana Pakatan Harapan sedang giat menggunakan integriti pemimpin sebagai antara isu utama untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Kelantan dan Kerajaan BN di Putrajaya maka pemilihan calon yang dilihat bermasalah pasti boleh menikam diri sendiri.

Saya mahu bersangka baik dengan Azran yang mungkin sahaja dianiayai oleh musuh-musuh beliau, cuma hakikatnya ialah politik adalah melibatkan persepsi, dan Husam yang giat menaburkan persepsi kepada pemimpin lain tentulah lebih arif mengenainya.

Dr. Kamarul Yusoff

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana