‘PAN TIDAK PEDULI SUARA AKAR UMBI’

SHAH ALAM: Bekas Pengarah Biro Pilihan Raya Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Jaafar Samsuddin, mendakwa kecewa kerana pimpinan atasan parti berkenaan tidak mendengar suaranya yang mewakili ahli di peringkat akar umbi.

Beliau yang mengesahkan peletakan jawatan dan keluar parti menerusi satu surat dihantar kira-kira jam 4 petang semalam berkata, pandangan ahli bawahan yang disuarakannya sejak lebih setahun lalu, tidak diendahkan pimpinan parti berkenaan.

“Keputusan ini bukan baru dibuat, sebaliknya saya sudah sedaya upaya menyampaikan suara hati ahli peringkat bawahan, namun tidak diendahkan.

“Bukan saja soal calon tempatan, tetapi soal strategi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, namun semuanya tidak didengari,” katanya kepada NSTP.

Bekas guru itu turut melepaskan Ketua PAN Kota Raja.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, beliau tidak kisah tidak menjadi calon pada PRU-14 ini, namun terkilan dan kecewa apabila Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang dikatakan bakal bertanding di Parlimen Kota Raja, tidak pernah bercakap mengenai perkara itu bersamanya.

“Saya dapat tahu mengenainya daripada orang lain, tetapi dia sendiri tidak pernah bercakap mengenai perkara itu dengan saya, sedangkan saya mewakili suara ahli di Kota Raja.

“Sudah tiga PRU saya tidak bertanding dan tak ambil hati jika tidak tercalon, tetapi mereka perlu dengar suara di akar umbi, kerana mereka lebih tahu apa yang diperlukan di kawasan itu,” katanya.

Sebelum ini, Mat Sabu mengesahkan akan bertanding di Selangor, namun enggan mengesahkan sama ada bertanding di Parlimen Kota Raja atau sebaliknya.

Jaafar berkata, beliau juga tidak berhasrat menyertai mana-mana parti selepas ini dan mahu berehat sementara waktu daripada politik.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment