DR ABDUL AZIZ BARI SUDAH TERPESONG?

Sesiapa yang pernah membaca buku Dr Abdul Aziz Bari bertajuk “Perlembagaan Malaysia: Teori & Praktis” terbitan 2008 serta membandingkannya dengan pelbagai tindakan dan kenyataan Dr Abdul Aziz Bari sejak menyertai DAP akan nampak dengan jelas betapa Dr Abdul Aziz Bari kini sudah terlalu jauh terpesong dari Dr Abdul Aziz Bari yang dulu.

Dr Abdul Aziz Bari yang dulu menyebut di dalam buku beliau betapa “negara ini tidak sekular dan tidak pernah disekularkan” (muka surat 306), betapa “tidak kedapatan walau sepatah pun kalimah sekular atau sekularisme di dalam perlembagaan” (muka surat 295), betapa “apabila perlembagaan menaikkan kedudukan Islam perlembagaan tidak boleh dikatakan sebagai sekular, dan kalau kita melihat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ciri yang kononnya sekular tadi makin luntur atau hilang terus” (muka surat 296).

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz Bari yang kini sudah menyertai DAP di mana sebagai ahli DAP yang setia beliau sudah akur sepenuhnya dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan DAP yang menyebut bahawa “Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen sekular” dan kini turut sama berjuang bersama-sama para pemimpin DAP lain untuk mecapai matlamat yang dinyatakan oleh Perlembagaan DAP iaitu untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

Dr Abdul Aziz Bari yang dulu menyebut di dalam buku beliau betapa masalah murtad “boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara kerana gejala murtad akan mengelirukan dan merubah definisi Melayu di bawah perlembagaan” (muka surat 348), betapa “murtad tidak termasuk di dalam ruang lingkup Perkara 11 kerana murtad itu bukan sejenis agama” manakala “orang ateis tidak mempunyai hak di bawah perlembagaan kita” (muka surat 330), dan betapa “sekiranya mahkamah membenarkan murtad maka ia secara tidak langsung telah menyebabkan struktur perlembagaan ini tunggang-langgang” (muka surat 333).

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz Bari yang kini sudah menyertai DAP di mana sebagai ahli DAP yang setia beliau sudah akur sepenuhnya dengan pendirian para pemimpin DAP lain mahupun pendirian para pemimpin parti komponen Pakatan Harapan lain khususnya AMANAH serta senyap tidak terkata bila rakan-rakan beliau seperti Tony Pua dan Mohamad Hanipa Maidin melaungkan bahawa murtad adalah hak asasi yang dilindungi oleh perlembagaan dan bahawa orang ateis mempunyai hak di bawah perlembagaan kita.

Dr Abdul Aziz Bari yang dulu menyebut di dalam buku beliau betapa “dalam keadaan perlembagaan sudah agak baik untuk mereka, umat Islam boleh membentuk kerajaan sendiri” (muka surat 309) dan betapa “umat Islam boleh memerintah negara ini sendiri tanpa perlu bergantung kepada sokongan orang lain” di mana “umat Islam hanya memerlukan 112 kerusi dari keseluruhan jumlah 222 kerusi di Dewan Rakyat” (muka surat 360) dengan UMNO dan PAS perlu bergabung untuk membentuk kerajaan umat Islam (muka surat 310 dan 360).

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz Bari yang kini sudah menyertai DAP di mana sebagai ahli DAP yang setia beliau sudah dinamakan dan mula melakukan gerak kerja sebagai calon DAP bagi kerusi N26 Tebing Tinggi, Perak, bersama golongan bukan Islam di dalam DAP dan di dalam PKR yang jika Pakatan Harapan yang parti mereka anggotai menang dalam PRU 14 maka Pakatan Harapan akan membentuk kerajaan sendiri yang bukan berbentuk “kerajaan umat Islam” tetapi kerajaan dominasi bukan Islam, baik di Ipoh mahupun di Putrajaya.

Semoga Allah memberikan kita petunjuk.

Dr. Kamarul Yusoff

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana