DAP BUKA `TOPENG SANDIWARA’

Penguasaan DAP dalam gabungan pembangkang PKR sekali lagi terserlah apabila ‘bos besar’ itu mendahului parti komponen yang lain dalam soal mengatur calon jemaah menteri.

Selain mencabut ‘topeng sandiwara’ sendiri, parti roket itu juga telah membuktikan bahawa seandainya tidak memegang dua jawatan tertinggi sekalipun, mereka sudah mempunyai gerak kerja yang teliti untuk menguasai kabinet sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff menjelaskan bahawa gabungan pembangkang PKR sememangnya sering berhadapan dengan sikap besar kepala dan dominasi DAP apabila sesuatu kata putus ingin dicapai.

Tambah beliau, pada satu sisi yang berlainan pula, pengumuman yang dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk mengangkat Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming bagi mengisi jawatan menteri kabinet, secara tidak langsung telah memperkukuhkan lagi tanggapan masyarakat Melayu terhadap DAP sebagai sebuah parti yang rasis dan cauvinis.

“Pengumuman yang dilakukan oleh Guan Eng ini tidak syak lagi boleh digunakan sebagai bukti betapa DAP tidak menghormati Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi di dalam gabungan pembangkang PKR.

“Selain itu, orang Islam dan orang Melayu sukar lupa bahawa pada 14 Disember 2015, Kor Ming pernah menyindir pakaian purdah sambil menyifatkan Datuk Ahmad Darus yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO supaya pramugari Malaysia Airlines (MAS) memakai pakaian menutup aurat sebagai ‘pemimpin Melayu otak cacat’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak disahkan akan bertanding di Parlimen Teluk Intan pada PRU-14 di mana beliau bakal meninggalkan Parlimen Taiping yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Seorang lagi wakil rakyat DAP yang bakal bergelar menteri sebagaimana diumumkan oleh Guan Eng adalah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong. – UTUSAN ONLINE
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment